
Pemeriksa dokumen dari Jabatan Kimia, Nurul Atiqah Mohd Noh, memaklumkan tulisan tangan pada dua muka surat helaian itu mempunyai ciri-ciri sama dengan spesimen contoh tulisan tangan digunakan iaitu atas nama ‘Zara Qairina binti Mahathir’.
Saksi kedua dalam inkues kematian Zara Qairina itu menyatakan demikian kepada mahkamah selepas ditanya Pegawai Pengendali Inkues, Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Dana Arabi Wazani, berhubung eksibit I11(A) yang ditanda Y2 bertarikh 28 Nov 2024, dan I18(A) ditanda Y10 bertarikh Februari 2025.
Menerusi ekshibit I11(A), ada luahan menyebut nama Noraidah Lamat, manakala helaian lain dalam ekshibit lain pula meluahkan perasaan sering dimaki dan bersyukur kerana dapat bersekolah jauh dari rumah.
Atiqah memberi keterangan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Soalan: Pada pandangan puan, adakah tulisan tangan pada ekshibit I11(A) merujuk kepada penulis lain selain daripada spesimen contoh tulisan tangan yang diperiksa?
Atiqah: Tidak.
Soalan: Maksud?
Atiqah: Saya berpendapat ekshibit I11(A) ditulis oleh penulis spesimen contoh.
Soalan: Bolehkah puan jelaskan kepada mahkamah, spesimen contoh tulisan tangan yang puan gunakan itu atas nama siapa?
Atiqah: Atas nama Zara Qairina binti Mahathir.
Berikut jawapan Atiqah berhubung ekshibit I18(A):
Soalan: Berdasarkan pemerhatian puan, tulisan tangan pada ekshibit I18(A) ini mempunyai ciri-ciri yang sama atau berbeza dengan spesimen contoh tulisan tangan?
Atiqah: Mempunyai ciri-ciri yang sama.
Soalan: Jika tulisan tangan ini mempunyai ciri-ciri yang sama, bolehkah puan nyatakan spesimen contoh tulisan tangan yang puan gunakan sebagai rujukan itu atas nama siapa?
Atiqah: Atas nama Zara Qairina binti Mahathir.
Prosiding siasatan di hadapan Amir Shah bersambung esok.
Zara Qairina, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai. Pelajar Tingkatan 1 itu dimasukkan ke hospital berkenaan sehari sebelumnya, selepas ditemukan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar pada 4 pagi.
Pada 13 Ogos, Pejabat Peguam Negara (AGC) mengarahkan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan dikemukakan polis.
Pada 8 Ogos, AGC mengeluarkan perintah untuk menggali semula kubur Zara Qairina bagi membolehkan bedah siasat dilakukan.