Drama Bersatu tunjuk Muhyiddin tak mudah diketepikan

Drama Bersatu tunjuk Muhyiddin tak mudah diketepikan

Namun, penentangan terbuka pada perhimpunan agung tahunan parti itu hanya permulaan dan boleh menjadi lebih buruk, menurut seorang penganalisis.

Muhyiddin Yassin-Bersatu
Muhyiddin Yassin terselamat daripada dijatuhkan sebagai presiden Bersatu pada perhimpunan parti itu.
PETALING JAYA:
Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sekali lagi membuktikan beliau bukan mudah ditolak ke tepi – tetapi seorang penganalisis politik menjangka keadaan akan menjadi lebih buruk sehingga beliau digulingkan.

Menurut seorang lagi penganalisis, Muhyiddin jelas terselamat daripada cubaan kudeta yang gagal, namun kelangsungan semata-mata bukanlah satu strategi, dan Muhyiddin perlu melakukan lebih banyak perkara jika parti mahu mara pada pilihan raya umum akan datang.

Sivamurugan Pandian.
Sivamurugan Pandian.

Bercakap kepada FMT, Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia berkata cubaan kudeta itu ‘gagal’ sekali gus membolehkan Muhyiddin terus memimpin parti.

“Kalau pihak menentang benar-benar mahu menyingkirkan Muhyiddin, mereka sepatutnya melakukannya dengan cara yang lebih betul.

“Mereka seharusnya menyatakan secara terbuka supaya had penggal jawatan presiden ditetapkan kemudian beralih membincangkan isu nasional lain. Pengundi mereka sedang memerhati,” katanya sambil menyatakan episod itu meninggalkan kesan terhadap Bersatu.

“Bersatu kelihatan berpecah seperti Umno dahulu iaitu berpuak-puak, sibuk dengan isu kepimpinan dan gagal menetapkan haluan jelas.

“Sepatutnya Bersatu menggunakan AGM untuk menggariskan dasar mengenai ekonomi, kos sara hidup dan pendidikan. Sekurang-kurangnya jelaskan bagaimana mereka mahu menangani masalah pengangguran belia.”

Pada perhimpunan agung tahunan Bersatu hujung minggu lalu, Muhyiddin berdepan episod surat layang, jeritan memintanya berundur serta penentangan yang sebelum ini senyap namun kini semakin berani dizahirkan secara terbuka.

Beberapa jam sebelum ucapan dasar beliau pada Sabtu, seramai 122 daripada 169 ketua bahagian mengadakan makan tengah hari 5km dari Ideal Convention Centre (IDCC) tempat perhimpunan berlangsung.

Seorang perwakilan yang hadir pada majlis makan itu memberitahu FMT ia bertujuan meredakan ketegangan kerana sebahagian ketua bahagian mahu Muhyiddin berundur.

“Mereka mahu beliau segera meletakkan jawatan,” kata perwakilan itu, sambil menambah ada yang tidak mahu Muhyiddin menjadi calon perdana menteri blok pembangkang pada pilihan raya umum akan datang.

Kekecohan tercetus pada malam Sabtu apabila Muhyiddin mendedahkan dalam ucapannya bahawa ada pihak mengumpul tandatangan untuk menyingkirkan beliau.

Sekumpulan kecil perwakilan kemudian mendesak beliau berundur, manakala majoriti melaungkan ‘Hidup Tan Sri’ sebagai tanda sokongan.

Muhyiddin memberi amaran bahawa jika tandatangan boleh digunakan untuk menyingkirkan presiden, perkara sama juga boleh dilakukan terhadap pemimpin lain di pelbagai peringkat parti.

Ada spekulasi 122 ketua bahagian telah menandatangani akuan berkanun mendesak Muhyiddin segera melaksanakan perubahan kepimpinan Bersatu sebelum PRU16.

Sehari selepas kekecohan itu, timbalan presiden Bersatu Hamzah Zainudin menyatakan ikrar taat setia kepada Muhyiddin.

“Cukup-cukuplah. Saya ingin memaklumkan kepada semua bahawa hari ini saya adalah penyokong nombor satu presiden. Apa sahaja yang diperlukan daripada saya, percayalah, saya orangnya,” katanya.

Bersatu juga sebulat suara memutuskan untuk menamakan Muhyiddin sebagai calon perdana menteri serta memberi sokongan penuh kepadanya sebagai presiden.

Keadaan dijangka lebih buruk

Penganalisis politik Azmi Hassan dari Akademi Nusantara memberitahu penentangan terbuka itu hanyalah permulaan.

Azmi Hassan.

“Sebelum ini, penentangan dilakukan secara senyap. Sekarang ia berlaku secara terbuka. Dengan Muhyiddin sendiri mendedahkan gerakan tandatangan itu, usaha untuk menolaknya akan terus berjalan,” katanya.

“Bersedialah untuk melihat keadaan menjadi lebih buruk dan lebih ganas sehinggalah kumpulan yang mahu Muhyiddin berundur mencapai apa yang mereka inginkan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.