
Ketua Penerangan Pemuda, Khairul Nadzir Helmi Azhar, percaya pembangkang memiliki ramai individu yang layak untuk diangkat sebagai perdana menteri.
“Kita kasi menang dulu itulah agenda utamanya, dan itulah agenda PAS,” katanya kepada FMT.
Ditanya sama ada Pemuda PAS akan membahaskan usul berhubung calon perdana menteri pada muktamar minggu depan, Khairul berkata perkara itu akan diketahui apabila mereka bersidang kelak.
“Sama ada ada usul soal calon perdana menteri kena tunggu muktamar,” katanya.
Terdahulu, Malaysiakini memetik Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man berpandangan tiada keperluan untuk mengusulkan cadangan calon perdana menteri ke-11 pada muktamar akan datang.
Beliau dipetik sebagai berkata, sekarang bukan masa yang sesuai untuk bicara soal siapa nak jadi perdana menteri.
Perkembangan itu menyusuli langkah Bersatu menamakan presiden mereka, Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri, pada Perhimpunan Agung Tahunan parti baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Khairul berkata pihaknya menghormati hak Bersatu untuk menamakan Muhyiddin, bagaimanapun ia perlu dimuktamadkan dalam mesyuarat Perikatan Nasional (PN) secara konsensus.
“Nak pilih perdana menteri bagi mewakili Bersatu maka itulah keputusannya, tapi bagi mewakili PN, ada prosedurnya,” katanya.
Semalam, Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Sanusi Nor, mengingatkan Bersatu sebarang keputusan penting tidak boleh dibuat secara solo tanpa konsensus bersama rakan komponen PN.
Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz, berkata usul mewakili ahli Bersatu itu wajar dihormati sebagai hak dan kehendak mereka, dan ia akan dibawa ke Majlis Presiden PN untuk diputuskan secara konsensus.