Saya tak siar gambar perlekeh mursyidul am PAS, kata Woo

Saya tak siar gambar perlekeh mursyidul am PAS, kata Woo

Ketua Pemuda DAP tuntut Pemuda PAS Selangor mohon maaf dan tarik balik kenyataan fitnah tersebut.

Woo Kah Leong
Ketua Pemuda DAP Woo Kah Leong berkata beliau ada buat hantaran kritik PAS pada 19 Nov, empat hari sebelum berita memaklumkan Mursyidul Am PAS Hashim Jasin mendapatkan rawatan di hospital. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Ketua Pemuda DAP Woo Kah Leong menafikan memuat naik gambar memperlekeh mursyidul am PAS, dan mengkritik Pemuda PAS Selangor kerana tidak jujur dengan tuduhan beliau menggunakan isu Hashim Jasin dirawat di hospital sebagai bahan politik.

Semalam, Pemuda PAS Selangor menuduh Woo memuat naik gambar Hashim yang telah disunting, menunjukkan beliau dalam keadaan terlantar di atas katil bersama sebuku roti Gardenia.

Sayap PAS itu menghantar satu memorandum lima muka surat kepada Ibu Pejabat DAP dan menuntut Woo memohon maaf secara terbuka serta menarik balik hantaran kandungan itu di semua platform media sosial.

Bagaimanapun, Woo hari ini berkata beliau tidak pernah memuat naik hantaran seperti itu. Katanya, beliau ada memuat naik satu hantaran mengkritik PAS pada 19 Nov, empat hari sebelum berita memaklumkan Hashim mendapatkan rawatan di hospital.

Woo juga menuntut Pemuda PAS Selangor untuk menarik balik kenyataan tersebut serta-merta dan memohon maaf secara terbuka kepada beliau.

“Sekiranya kenyataan fitnah sedemikian tidak ditarik balik, saya tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.