Bekas CEO yayasan nafi urus pindahan RM42 juta ke akaun Najib

Bekas CEO yayasan nafi urus pindahan RM42 juta ke akaun Najib

Ung Su Ling berkata beliau tahu dana terbabit ‘ada kaitan’ dengan perdana menteri ketika itu, Najib Razak, namun tidak mengetahui ia dimasukkan ke akaun peribadi.

Ung Su Ling
Ung Su Ling berkata peranannya hanyalah menyampaikan arahan daripada Azlin Alias kepada Shamsul Anwar Sulaiman.
KUALA LUMPUR:
Bekas CEO Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M) Ung Su Ling menafikan beliau menguruskan pindahan RM42 juta ke dalam akaun peribadi AmBank milik Najib Razak.

Ung memberitahu Mahkamah Tinggi di sini yang peranannya hanyalah menyampaikan arahan daripada setiausaha sulit kanan Najib ketika itu, Azlin Alias, kepada CEO Ihsan Perdana Sdn Bhd Shamsul Anwar Sulaiman.

Beliau berkata arahan disampaikan itu adalah perintah Azlin kepada Shamsul supaya memindahkan dana ke dua akaun AmBank, dengan nombor berakhir 880 dan 906, antara hujung 2014 dan awal 2015.

Pemindahan itu dibuat dalam tiga peringkat – RM27 juta, RM5 juta dan RM10 juta.

Ung sebelum ini berkata beliau tidak mengetahui wang itu berasal daripada SRC International atau bahawa akaun berkenaan milik bekas perdana menteri.

Namun, peguam Najib, Farhan Shafee, mencabar keterangan Ung dengan menegaskan pertukaran e-mel beliau bersama bekas pengurus perhubungan AmBank, Joanna Yu, menunjukkan beliau lebih terlibat daripada apa yang didakwanya.

Farhan: Awak setuju pada ketika ini awak bukan sekadar menyampaikan arahan kepada Shamsul tetapi juga menguruskan keseluruhan transaksi?

Ung: Saya tidak setuju. Saya minta wang ini dipindahkan ke akaun (AmBank) itu, tetapi anda tidak boleh lari daripada tanggungjawab selepas itu, anda perlu pastikan semuanya selesai. Ia perkara yang mudah.

Apabila ditanya mengapa beliau tidak pernah menyemak butiran pemindahan, khususnya identiti penerima, Ung berkata Azlin memberitahunya wang itu bertujuan untuk program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Beliau menambah tiada sebab untuk meragui penjelasan Azlin.

“(Memandangkan) ia datang daripada Azlin, saya rasa cek dan akaun itu ada kaitan dengan perdana menteri ketika itu. Saya tidak tahu ia akaun peribadinya (Najib).

“Jika cek yang ada kaitan dengan pejabat tertinggi negara ditolak, ia akan sangat memalukan,” katanya.

Ung memberi keterangan sebagai saksi pertama pihak plaintif dalam saman sivil dibawa SRC International dan Gandingan Mentari untuk mendapatkan kembali RM42 juta yang didakwa diseleweng daripada akaun syarikat induk.

Pada Ogos 2022, Najib disabitkan dengan tujuh pertuduhan membabitkan salah guna kuasa, pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah berkaitan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Beliau dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, yang kemudian dikurangkan kepada enam tahun dan RM50 juta selepas keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan akan bersambung pada 13 Okt.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.