
Difahamkan, empat mangsa tertimbus ketika menjalankan kerja menanam struktur saluran dekat persisiran Sungai Perak.
Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Shazlean Mohd Hanafiah, berkata lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Seri Iskandar dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan pada 5 petang semalam.
Katanya, seorang mangsa tertimbus sepenuhnya, manakala tiga lagi mangsa yang tersekat dalam pam pasir dan tertimbus hingga paras dada berjaya diselamatkan pada 6.30 petang.
Menurutnya, dua pekerja melihat tanah di sekeliling lokasi korekan mulai rebak, sebelum mereka terjatuh ke dalam longkang yang dikorek.
“Kedalaman longkang dikorek itu dianggarkan 3m. Tiga mangsa selamat mengalami kecederaan, manakala mangsa yang tertimbus sepenuhnya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Tiga mangsa yang selamat dihantar ke hospital, manakala mangsa meninggal dunia diserahkan kepada polis,” katanya menurut Harian Metro.