
Dalam pendengaran awal permohonan pascarayuannya pada Jumaat, mahkamah berkata, permohonan penangguhan hukuman itu pada asasnya bergantung kepada prinsip bahawa dasar Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) mengenai penjadualan hukuman mati mesti dilaksanakan secara sama rata kepada semua.
Panel lima hakim diketuai Ketua Hakim, Sundaresh Menon, berkata dalam penghakiman mereka pada Jumaat, mahkamah mempertimbangkan sama ada MHA mengubah dasarnya secara tidak sah dan dalam apa jua keadaan, sama ada perbezaan dasar MHA antara prosiding dibawakan negara dan bukan oleh negara adalah menyalahi undang-undang.
Mahkamah berkata, negara berhak mengubah dasarnya selagi perubahan itu tidak terbukti tidak sah berdasarkan alasan perundangan tertentu.
“Oleh itu, dalam kes ini, masih menjadi tanggungjawab pemohon untuk membuktikan perubahan dasar MHA itu tidak sah. Pada pandangan kami, beliau tidak berjaya berbuat demikian,” menurut penghakiman itu.
Mahkamah turut berkata, walaupun MHA mengubah dasar penjadualan hukuman mati, pemohon gagal mengenal pasti sebarang asas untuk mencabar kesahan perubahan itu.
Mahkamah juga menolak hujahan Pannir Selvam bahawa perbezaan dasar MHA menyebabkan layanan berbeza terhadap banduan menunggu pelaksanaan hukuman mati (PACP) bergantung sama ada keterangan mereka diperlukan dalam prosiding dibawakan negara atau bukan oleh negara.
“Pertama sekali, kami tekankan PACP ialah individu yang telah dijatuhkan hukuman mati mengikut undang-undang dan sabitan serta hukuman mereka dikekalkan Mahkamah Rayuan selepas rayuan atau semakan.”
Mahkamah memutuskan perbezaan dasar MHA antara prosiding yang dibawakan negara dan bukan negara bukanlah sesuatu yang menyalahi undang-undang, sama ada kerana melanggar Perkara 12(1) Perlembagaan mahupun disebabkan bersifat tidak munasabah atau tidak rasional.
Mahkamah turut mengambil maklum alasan kedua permohonan pascarayuan Pannir Selvam dalam kes hukuman mati (permohonan PACC) berhubung prosiding yang dibawakan empat banduan lain kini tidak lagi relevan selepa mahkamah menolak kes itu.
Pannir Selvam disabitkan bersalah oleh Mahkamah Tinggi pada 2 Mei 2017 kerana membawa masuk tidak kurang 51.84g diamorfin ke Singapura dan dijatuhkan hukuman mati mandatori.
Rayuannya ditolak Mahkamah Rayuan pada 9 Feb 2018, manakala petisyen pengampunannya kepada presiden Singapura turut ditolak.
Pannir Selvam pernah diberikan penangguhan hukuman dua kali. Kali pertama pada Mei 2019 atas alasan beliau berhasrat mencabar penolakan petisyen pengampunan dan keputusan pendakwa raya untuk tidak mengeluarkan sijil bantuan substantif kepadanya.
Penangguhan pelaksanaan hukuman kali kedua diberikan pada Feb 2025 sementara menunggu keputusan permohonan PACC ini.