Diancam warganet, pakar patologi inkues Zara buat repot

Diancam warganet, pakar patologi inkues Zara buat repot

Laporan berkait ancaman itu dibuat Dr Jessie Hiu dan disahkan ketua polis Kota Kinabalu.

Zara Qairina
Pakar patologi forensik Dr Jessie Hiu membuat laporan polis mengenai ancaman terhadapnya susulan keterangan dalam inkues kematian Zara Qairina Mahathir. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Pakar patologi forensik Dr Jessie Hiu melaporkan kepada polis ancaman diterima daripada warganet susulan keterangannya dalam inkues kematian Zara Qairina Mahathir.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Kota Kinabalu Kasim Muda.

“Kami terima laporan daripada beliau petang semalam.

“Dalam laporan itu, Dr Jessie menyatakan beliau dimaklumkan oleh pengarah Hospital Queen Elizabeth (HQE) mengenai ancaman berkenaan,” katanya kepada Berita Harian.

Menurut laporan, Jessie, 58, yang telah berkhidmat di HQE sejak 1998, memiliki ijazah perubatan dari Universiti Sains Malaysia (USM) dan ijazah sarjana dalam bidang patologi dari Universiti Malaya.

Beliau juga ahli Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Persatuan Perubatan dan Sains Forensik Malaysia, serta Persatuan Undang-undang, Perubatan, dan Sains Indo-Pasifik.

Pakar tersebut menjalankan dan menyelia antara 100 hingga 150 bedah siasat setiap tahun serta memberi keterangan sebagai saksi pakar antara 10 hingga 15 kali setahun di Mahkamah Majistret, Sesyen, dan Tinggi di Sabah serta Labuan.

Pada 4 Sept, dalam inkues kematian Zara, pakar itu menyerahkan kepada Mahkamah Koroner menentukan sama ada pelajar Tingkatan 1 itu terjun dari asrama atas kehendak sendiri atau sebaliknya.

Beliau berkata demikian ketika disoal peguam Ram Singh mengenai kemungkinan remaja 13 tahun itu melompat sendiri dari lokasi kejadian.

Sebelum itu, Jessie menolak kemungkinan Zara ditolak atau diserang hingga jatuh dari tingkat tiga asramanya sebelum ditemui tidak sedarkan diri bawah bangunan pada awal pagi, 16 Julai lalu.

Jessie berkata, besar kemungkinan mangsa melompat atau menghayunkan diri dengan bergayut pada jeriji besi tergantung dari atas tembok koridor asrama, lapor Harian Metro.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.