Lelaki Pakistan lari Penjara Sungai Buloh ditahan semula

Lelaki Pakistan lari Penjara Sungai Buloh ditahan semula

Polis berkata suspek dikesan dan ditahan kira-kira 5 petang semalam di Jalan Gombak Lama.

Muhammad Hassan
Muhammad Hassan melarikan diri dari Penjara Sungai Buloh pada 9 April sebelum ditahan semula semalam. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA:
Seorang tahanan lelaki warga Pakistan yang diburu pihak berkuasa selepas melarikan diri dari Penjara Sungai Buloh pada 9 April lalu, berjaya ditangkap semula petang semalam.

Ketua Polis Selangor, Shazeli Kahar berkata, lelaki itu dikesan dan ditahan di Jalan Batu 14, Jalan Gombak Lama kira-kira 5 petang.

“Polis Selangor merakamkan penghargaan atas kerjasama semua pihak yang membantu sehingga banduan tersebut berjaya ditangkap.

“Tangkapan ini penting bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, polis memaklumkan Muhammad Hassan, 24, kali terakhir dilihat berpakaian kemeja-T berwarna jingga dan seluar panjang hitam.

Katanya, lelaki itu sedang direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan, Seksyen 392 Kanun Keseksaan, Seksyen 14(d) dan (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017, dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.