Kira-kira 1,000 rumah musnah dalam kebakaran di Sandakan

Kira-kira 1,000 rumah musnah dalam kebakaran di Sandakan

Kebakaran di rumah atas air Kampung Bahagia pada pagi tadi itu menyebabkan seramai 9,007 penduduk hilang tempat tinggal.

Kira-kira 1,000 rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Bahagia di Sandakan, Sabah awal pagi tadi. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seramai 9,007 penduduk hilang tempat tinggal dalam kebakaran besar yang memusnahkan kira-kira 1,000 rumah atas air Kampung Bahagia di Sandakan, Sabah awal pagi tadi.

Ketua Polis Sandakan George Abd Rakman berkata pihaknya menerima laporan kejadian itu pada 1.30 pagi, sebelum lokasi berkenaan diisytiharkan sebagai kawasan bencana pada 4 pagi, lapor Bernama.

“Kawasan ini menempatkan lebih kurang 1,200 rumah dan jumlah yang terkesan ialah kira-kira 1,000 rumah melibatkan 9,007 mangsa,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

Katanya, pihak berkuasa kini giat membantu menyelaras pendaftaran mangsa bagi tujuan pemindahan dan pengagihan bantuan.

Beliau juga menafikan dakwaan tular di media sosial kononnya kebakaran itu meragut nyawa.

“Saya tidak menerima apa-apa laporan kemalangan jiwa. Apa yang berlaku, mungkin cedera semasa menyelamatkan harta benda atau membantu rakan yang lain,” katanya.

Beliau berkata punca sebenar kejadian kebakaran masih dalam siasatan pihak bomba.

Sementara itu Presiden Majlis Perbandaran Sandakan Walter Kenson berkata sebuah lagi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka, iaitu di SK Gas pada 11 pagi, selepas PPS Dewan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Sapi pada 7 pagi tadi.

Walter berkata PPS dibuka setelah pemeriksaan kawasan dan rumah penduduk terjejas didapati tidak selamat untuk didiami, selain pihaknya telah mengeluarkan pengisytiharan bencana kebakaran di daerah itu susulan kejadian tersebut.

Maklumat tidak rasmi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah menunjukkan setakat 10.30 pagi, PPS Dewan PPR Batu Sapi merekodkan pendaftaran 143 ketua isi rumah membabitkan 661 mangsa.

Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia masih menjalankan proses pendaftaran mangsa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.