5 maut nahas dengan lori treler

5 maut nahas dengan lori treler

Mangsa merupakan pelajar Institut Kemahiran Mara (IKM) Kota Kinabalu.

5 maut nahas
Lima pelajar IKM Kota Kinabalu meninggal dunia selepas MPV dinaiki bertembung dari arah bertentangan dengan lori treler, dalam kejadian di Tuaran. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA:
Lima maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki bertembung sebuah lori treler dalam nahas di Jalan Sulaman Gayang di hadapan Pusat Latihan Jabatan Sukarelawan Malaysia, Tuaran, petang tadi.

Dalam kejadian pada 2.09 petang itu, kelima-lima mereka berusia lingkungan 20-an disahkan meninggal dunia oleh pegawai Kementerian Kesihatan di lokasi kejadian.

Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah dalam kenyataan, berkata nahas berlaku apabila kedua-dua kenderaan dari arah bertentangan bertembung, sebelum MPV dinaiki mangsa terbabas ke bahu jalan.

“Bagaimanapun identiti semua mangsa belum dapat dipastikan dan mayat mereka diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan,” menurut Bernama.

Sembilan anggota dari Balai Bomba Kota Kinabalu tiba di lokasi kejadian sejauh 29km, kira-kira 2.50 petang.

Dalam pada itu, Sinar Harian melaporkan mangsa maut adalah Harianto Anuar, 20; Neil Stanly Pletinie, 20; Mohammad Ikhwan Kurniawan, 20; dan Mohamad Zuhaikal Mohd Zaidy, 20. Namun, seorang lagi belum dikenal pasti.

Mereka merupakan pelajar Institut Kemahiran Mara (IKM) Kota Kinabalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.