Olahraga Malaysia siasat isu belum bayar ganjaran legenda sukan

Olahraga Malaysia siasat isu belum bayar ganjaran legenda sukan

Kesatuan mahu tangani 'episod yang amat dikesali dan belum selesai' dalam sukan olahraga Malaysia.

AGM KOM 2025-PRESIDEN BAHARU KARIM IBRAHIM
KOM akan hubungi menteri belia dan sukan dan ketua pengarah MSN untuk menggesa keperluan moral menyelesaikan isu yang berdekad lama, kata Timbalan Presiden Wan Hisham Wan Salleh.
PETALING JAYA:
Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) akan menubuhkan pasukan petugas khas untuk menyiasat isu wang hadiah yang belum dibayar kepada legenda olahraga negara yang telah berdekad lamanya, susulan pendedahan oleh FMT.

Badan induk itu berkata pasukan petugas tersebut, yang akan dibentuk bersama Kementerian Belia dan Sukan serta Majlis Sukan Negara (MSN), akan menentusahkan senarai atlet terkesan, mengesan rekod kewangan, dan menentukan nilai semasa ganjaran RM5,000 yang belum dibayar itu.

Timbalan Presiden Wan Hisham Wan Salleh berkata inisiatif ini sebahagian usaha menangani apa yang disifatkan sebagai “episod yang amat dikesali dan belum selesai” dalam sukan olahraga Malaysia.

“Saya ingin menyatakan rasa hormat kami yang mendalam terhadap atlet-atlet yang dinamakan dalam laporan itu dan setulusnya memohon maaf atas janji kepada anda yang tidak ditunaikan,” menurut kenyataan.

“Walaupun Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (MAAU) badan induk pada masa itu, dan KOM entiti berasingan, kami mengakui sepenuhnya tanggungjawab moral kami sebagai penjaga sukan olahraga semasa untuk membantu menyelesaikan ketidakadilan ini.”

Laporan FMT semalam memperincikan bagaimana sekurang-kurangnya 10 atlet terkemuka tidak pernah menerima hadiah wang tunai RM5,000 selepas memenangi anugerah olahragawan dan olahragawati tahunan dari 1966 hingga 1982.

Antara yang terkesan ialah Dr Mani Jegathesan, M Rajamani, Junaidah Aman, dan V Subramaniam — bekas atlet yang menurut KOM meletakkan asas bagi sukan Malaysia.

Wan Hisham berkata KOM akan menghubungi setiap atlet secara peribadi, melantik pegawai perhubungan untuk mengekalkan komunikasi, dan secara rasmi menggesa kerajaan melepaskan dana untuk menunaikan komitmen tersebut.

Beliau juga berkata KOM akan menghantar surat rasmi kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, dan Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin, pada hujung minggu ini untuk membentangkan fakta dan menggesa keperluan moral menyelesaikan isu yang berdekad lamanya ini.

Wan Hisham berkata KOM juga akan memohon kerajaan, sebagai badan yang sewajarnya, memperuntukkan dana untuk menunaikan komitmen ini.

Beliau menambah usaha KOM ini bukanlah pengakuan liabiliti undang-undang, sebaliknya kewajipan moral untuk melindungi maruah para atlet.

Wan Hisham berjanji akan melakukan semakan sistematik terhadap dasar KOM untuk memastikan janji kepada atlet didokumenkan dan dipenuhi tanpa berlengah, pada masa depan.

“Kita tidak boleh mengubah masa lalu, tetapi kita pastinya boleh mengambil tanggungjawab untuk membantu menyembuhkannya,” kata Wan Hisham.

“KOM komited untuk menjadi penggesa yang lantang dan aktif dalam usaha ini. Kita berhutang kepada legenda-legenda kita.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.