
Annie yang bersaing dalam acara 100m mencipta sejarah sebagai satu-satunya atlet wanita dalam kontinjen sulung Malaysia yang ketika itu dikenali sebagai Malaya.
Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) menggambarkan Annie sebagai perintis dalam arena olahraga Malaysia.
“Annie mencipta sejarah dengan bertanding di Sukan Olimpik Melbourne 1956, membuka jalan kepada generasi atlet wanita Malaysia di masa hadapan. Beliau dikenali kerana kepantasan dan semangat juangnya dalam sukan olahraga.
“Semoga keluarga (beliau) diberi kekuatan untuk menghadapi waktu sukar ini dan semoga sumbangan beliau terus diingati dalam dunia sukan negara,” kata KOM dalam kenyataan.
Pada Sukan Olimpik Melbourne 1956, Annie yang ketika itu berusia 22 tahun menamatkan larian di tempat keempat dengan catatan masa 12.73 saat.
Legasi yang ditinggalkan oleh Annie memberi inspirasi kepada ramai atlet wanita terkemuka Malaysia termasuk B Rajamani dan Marina Chin.
Annie juga pernah beraksi dalam edisi kedua dan ketiga Sukan Asia pada 1954 di Manila, Filipina, dan Tokyo, Jepun, pada 1958.
Beliau juga disenaraikan dalam Dewan Kemasyhuran Majlis Olimpik Malaysia (MOM) pada 2017.