‘Dia tiada ketika itu’, ikon olahraga sanggah kenyataan Marina Chin mengenai hadiah wang tunai

‘Dia tiada ketika itu’, ikon olahraga sanggah kenyataan Marina Chin mengenai hadiah wang tunai

Pemenang anugerah sukan kebangsaan berkata kenyataan Marina Chin mengenai cara pengendalian insentif RM5,000 tidak menggambarkan apa yang mereka diberitahu ketika itu.

Khoo Chong Beng
Pelumba jalan kaki Khoo Chong Beng menerima sebahagian anugerah Olahragawan Tahunannya daripada Presiden KOAM Ghazali Shafie selepas pulang daripada latihan di Jerman Barat untuk Sukan Olimpik Montreal 1976. (Gambar Khoo Chong Beng)
PETALING JAYA:
Pertikaian berhubung hadiah wang tunai RM5,000 yang tidak dibayar kepada atlet terbaik negara antara 1966 hingga 1982 semakin hangat apabila legenda olahraga tampil menolak kenyataan Marina Chin.

Marina, Olahragawati 1976 dan 1977, dalam kenyataan media sebelum ini berkata atlet pada zamannya tidak boleh menerima ganjaran wang tunai secara langsung tanpa menjejaskan status amatur mereka.

Katanya, wang hadiah itu disalurkan kepada persatuan sukan kebangsaan.

Namun, juara kebangsaan menegaskan Marina tidak mengetahui apa yang berlaku ketika anugerah itu diperkenalkan.

marina chin
Marina Chin, Olahragawati 1976 dan 1977, yang kenyataannya berhubung kontroversi hadiah wang tunai telah mengundang reaksi marah daripada legenda olahraga lain.

Mereka mendakwa diberitahu wang insentif berkenaan akan disimpan dan dibayar selepas bersara.

“Saya minta maaf jika saya tersalah faham maksud orang lain,” kata Marina kepada FMT sebagai maklum balas kepada kritikan.

“Saya bukan jurucakap sesiapa. Saya hanya menyatakan pendapat berdasarkan apa yang saya tahu kerana setiap perkara ada dua sisi.

“Dan tidak adil untuk menggambarkan imej buruk terhadap persatuan sukan, MSN (Majlis Sukan Negara) dan KBS (Kementerian Belia dan Sukan) yang berusaha sebaik mungkin membangunkan sukan di negara.”

Marina juga menafikan dakwaan beliau pernah memberitahu M Rajamani yang dirinya menerima RM3,000 untuk anugerah kedua pada 1977.

“Saya tidak ingat pernah memberitahunya begitu. Saya tidak menerima wang itu. Lagi pun, semakan menunjukkan jumlah pada 1977 ialah RM2,000,” katanya.

Marina menegaskan beliau tidak menafikan apa yang diberitahu kepada atlet lain.

“Saya tidak mengetahui perbualan mereka dengan Allahyarham Ghazali Shafie. Ingatan setiap orang mungkin berbeza.”

‘Itu wang saya’

Rajamani, Olahragawati pertama Malaysia pada 1966, berterus terang dalam sanggahannya.

“Bagi seseorang yang tidak tahu apa yang berlaku ketika saya menerima anugerah itu, Marina hanya mengelirukan semua orang,” katanya.

Beliau mengimbas Ghazali, ketika itu presiden Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM), memberitahu wang itu akan diberikan kepadanya selepas bersara.

“Bagaimana Marina tahu semua ini sedangkan ketika itu dia masih bersekolah?” soalnya.

Rajamani, yang juga memenangi anugerah sana pada 1967, berkata beliau tidak pernah menerima keseluruhan RM10,000 yang dijanjikan.

Pada 1991, beliau menulis kepada KOAM bertanya berkaitan wang itu tetapi tidak pernah mendapat jawapan.

“Sebaliknya saya disisihkan daripada aktiviti KOAM. Saya jadi kambing hitam,” katanya.

Beliau menambah, jika menerima wang itu, beliau akan menggunakannya untuk membantu atlet yang memerlukan.

‘Dia tiada di situ’

Jaguh lumba jalan kaki V Subramaniam, Olahragawan 1978 pula berkata beliau juga dijanjikan wang itu selepas bersara.

“Adakah Marina ada ketika itu?” soalnya.

Katanya, Ghazali sendiri memberi jaminan selepas menyerahkan cek hadiah, disaksikan penolong setiausaha ketika itu, Thangathurai.

Khoo Chong Beng, pemenang 1975, berkata janji sama dibuat kepadanya oleh Ghazali yang perlu ditunaikan.

Junaidah Aman, Olahragawati 1971 dan 1972, berkata beliau ‘kecewa’ dengan kenyataan Marina.

“Siapa dia untuk bercakap bagi pihak kami? Apa yang dia tahu tentang apa yang disampaikan Ghazali kepada pemenang?” katanya.

Rabuan Pit Zaiton Othman
Zaiton Othman dan pelari pecut Rabuan Pit memegang trofi Olahragawati dan Olahragawan 1982. Kedua-duanya tidak pernah menerima hadiah wang tunai RM5,000 yang sepatutnya disertakan bersama anugerah tersebut. (Gambar Facebook)

Atlet Zaiton Othman, Olahragawati 1982, berkata beliau tidak pernah menerima RM5,000, begitu juga dengan pelari pecut Rabuan Pit yang dinobatkan sebagai Olahragawan tahun sama.

“Terima kasih kepada Subramaniam, Chong Beng dan Rajamani kerana tanpa jemu memperjuangkan bukan sahaja hak mereka tetapi juga hak pemenang lain,” kata Zaiton.

Difahamkan semua pemenang antara 1966 hingga 1982 mungkin terkesan. Ada atlet enggan mengulas, ada yang tidak membalas mesej dan ada juga gagal dihubungi.

Kucar-kacir

Dalam kenyataan awalnya, Marina berkata beliau difahamkan ketika itu penerimaan wang tunai boleh menjejaskan status amatur.

“Semua peruntukan kewangan disalurkan melalui persatuan untuk membiayai pembangunan bakat, latihan dan penyertaan pertandingan,” katanya.

Beliau menggesa Majlis Sukan Negara dan persatuan sukan mendedahkan rekod bagaimana wang anugerah disalurkan.

“Jika semakan mendapati ada kekurangan atau tuntutan yang sah, tindakan pembetulan wajar diambil dengan penuh integriti,” katanya.

Kontroversi ini tercetus selepas FMT melaporkan sekurang-kurangnya 10 atlet terbaik negara tidak pernah menerima hadiah mereka, termasuk legenda hoki M Mahendran, jaguh berbasikal Ng Joo Ngan, juara bowling JB Koo dan ikon badminton Sylvia Ng.

Kementerian Belia dan Sukan sejak itu berkata ia akan membantu menyelesaikan isu tersebut. Malaysia Athletics turut menubuhkan jawatankuasa khas untuk menyiasat.

Konfederasi Hoki Malaysia telah membayar semula RM5,000 kepada Mahendran, manakala Persekutuan Berbasikal Kebangsaan berjanji akan membayar Ng Joo Ngan hadiah wang tunainya dari 1970.

Ketika siasatan berterusan, bekas atlet berharap suara mereka akhirnya memastikan juara masa depan tidak lagi berdepan ketidaktentuan sama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.