Tak perlu naik taraf SSBJ jadi kolej, universiti sukan, kata bekas pengetua

Tak perlu naik taraf SSBJ jadi kolej, universiti sukan, kata bekas pengetua

Marina Chin berkata, setiap pelajar SSBJ mempunyai potensi serta bakat lain perlu ditonjolkan, bukan terarah kepada karier sukan semata-mata.

Bekas pengetua Sekolah Sukan Bukit Jalil, Marina Chin berkata had umur sedia ada perlu dikekalkan kerana masa diperlukan pelajar dalam akademi dan sukan sudah seimbang. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Bekas pengetua Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ), Marina Chin berpendapat tiada keperluan menaik taraf sekolah itu menjadi kolej atau universiti sukan.

Beliau berkata, setiap pelajar SSBJ mempunyai potensi dan bakat lain perlu ditonjolkan, bukan terarah kepada karier sukan semata-mata.

“Pelajar ada kehidupan lain selepas karier sukan, mereka tidak terhad kepada sukan saja. Saya ada ramai pelajar bagus dalam sukan dan banyak perkara seperti menyanyi dan ada yang cemerlang dalam pelajaran. Kenapa nak halang mereka jadi doktor, peguam, jurutera dan kerjaya lain?

“Kenapa kita nak hadkan karier mereka kepada sukan saja, kalau mereka berminat teruskan dalam sukan, baik, mereka boleh (menjadi jurulatih). Kebanyakan jurulatih di SSBJ bekas atlet, mereka masuk universiti buat pendidikan dan jadi jurulatih,” katanya di sini.

Marina yang juga legenda olahraga negara berkata, had umur sedia ada bagi SSBJ perlu dikekalkan kerana masa yang diperlukan pelajar dalam akademi dan sukan sudah seimbang.

Julai lalu, Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia, Shahidan Kassim mencadangkan kerajaan menubuhkan universiti sukan bagi memastikan atlet pelapis, terutama lepasan sekolah sukan terus berkecimpung dalam sukan, sekali gus memastikan Malaysia tidak ketandusan bakat.

Susulan itu, penganalisis sukan, Pekan Ramli berpendapat penubuhan universiti sukan di Malaysia boleh dilakukan tanpa mewujudkan institusi pengajian tinggi baharu, sebaliknya menaik taraf sekolah sukan sedia ada bagi tujuan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.