
Tony Paridi Bagang dari Universiti Teknologi Mara Sabah berpendapat realiti politik semasa seperti kerjasama lebih besar dengan gabungan lain, menyebabkan ia sukar menjadi pemerintah tunggal.
“Sukar untuk KDM menjadi parti pemerintah secara tunggal kerana faktor seperti pecah undi akibat pertandingan beberapa penjuru, saingan kerjasama politik pakatan seperti GRS-PH-BN serta gerakan ‘Gelombang Hitam’,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, beberapa aspek perlu diputuskan terlebih dahulu sekiranya KDM mahu bergabung dengan parti lain.
“Ia termasuk sama ada Wetrom mendapat sokongan majoriti dalam kalangan Adun lain sebagai calon ketua menteri, prestasi kemenangan kerusi KDM dan seterusnya mendapat persetujuan mahupun kepercayaan daripada komponen parti-parti yang bersetuju,” katanya.
Manakala Syahruddin Awang Ahmad dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata, parti tempatan seperti KDM lebih berpotensi sebagai ‘kingmaker’ dalam pembentukan kerajaan baharu dan bukannya sebagai parti pemerintah tunggal.
Katanya, KDM perlu sokongan yang sangat luas merentasi pelbagai kaum dan geografi untuk meraih kemenangan dan seterusnya membentuk kerajaan secara solo.
“Ia sukar dicapai memandangkan parti itu masih baharu dan pengaruhnya masih terhad kepada kawasan tertentu,” katanya.
Menurut Syahruddin, peluang Wetrom untuk menjadi ketua menteri tipis jika KDM perlu bergabung dengan parti lain.
“Namun jika tiada gabungan yang mendapat majoriti dominan pada PRN, sokongan Wetrom dan KDM boleh menjadi faktor penentu pembentukan kerajaan baharu. Ini akan meletakkan beliau dalam posisi tawar-menawar yang kuat,” katanya.
Semalam, Pemangku Presiden KDM Priscella Peter dilaporkan mengumumkan Wetrom sebagai calon ketua menteri jika parti itu menang PRN Sabah nanti.
Katanya, pihaknya telah mengenal pasti 40 kerusi yang akan ditandingi dan calon mewakili parti itu.