
Setiausaha Agung, Zambry Abd Kadir, berkata MCA dan MIC bukan baharu di persada politik tanah air dan melalui pelbagai onak, duri serta ranjau sepanjang perjalanan politik mereka sejak sebelum merdeka lagi.
“Saya percaya MCA dan MIC sangat mengenali mereka (Bersatu, PAS dan Gerakan) dalam percaturan politik tanah air sejak dahulu lagi.
“Iklim politik dan kehidupan bernegara melalui model persefahaman antara kaum serta politik kesederhanaan menjadi pegangan jelas Barisan Nasional (BN) di mana MCA dan MIC adalah pengasas bersama Umno,” katanya dalam kenyataan.
Zambry yang juga ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno berkata, peluang yang cuba diraih PN lantaran beberapa tindakan dan kenyataan pimpinan kedua-dua parti itu terhadap kerajaan perpaduan dan BN, tidak akan mengubah semangat perpaduan terjalin selama ini.
“BN sentiasa mengambil tindakan berhemah dan berunding dalam menangani setiap permasalahan. Semangat kerjasama ini tetap diteruskan meskipun dalam cabaran politik yang sedang dihadapi kini,” katanya.
Semalam, Pengerusi BN Zahid Hamidi mendedahkan ada cubaan ‘memancing’ MCA dan MIC menyertai PN menjelang PRU16.
Kenyataan itu susulan ‘pelawaan’ Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man pada 31 Ogos lalu supaya kedua-dua parti bergabung dengan PN.
Bulan lalu, Presiden MIC, SA Vigneswaran mengesahkan parti itu mengadakan perbincangan tidak rasmi dengan PN mengenai hala tuju politik.
Sebelum itu, MIC Kedah meluluskan usul bekerjasama dengan PN dan keluar BN, manakala MIC Pulau Pinang turut bersetuju dengan cadangan keluar gabungan tersebut.