
Beliau berkata, PAS seharusnya menumpukan isu yang memberi kesan kepada rakyat, bukan terus memainkan naratif ketuanan Melayu dan politik Islam, yang menurutnya menakutkan pengundi bukan Melayu-Islam.
Katanya, pengundi India dan Cina cenderung menilai sesebuah parti berdasarkan cara ia menyelesaikan isu berkaitan ekonomi, pendidikan, kos sara hidup dan peluang pekerjaan.
“Jadikan PAS sinonim dengan sebuah parti yang menawarkan penyelesaian praktikal untuk negara, bukannya parti yang dikenali kerana menjadi ‘polis moral’,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Beliau berkata, PAS juga perlu mendekati masyarakat Cina dan India dengan ikhlas, bukan melihat mereka hanya melalui lensa politik.
Ti berkata, PAS harus menyertai aktiviti kebudayaan dan forum berbilang kaum, melawat rumah ibadat, serta memperkasa pemimpin bukan Islam dalam sayap penyokong parti.
“Jangan sekadar muncul apabila pilihan raya semakin hampir,” katanya, sambil menambah PAS juga wajar secara terbuka menyokong sekolah vernakular.
Semalam, Ti dilaporkan berkata sukar untuk masyarakat India dan Cina menerima PAS kecuali parti itu mengubah imej konservatifnya.
Kenyataannya hari ini susulan ‘pelawaan’ Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man kepada MCA dan MIC menyertai Perikatan Nasional (PN), selepas beberapa bahagian negeri MIC dan MCA mendesak parti masing-masing keluar Barisan Nasional (BN) kerana rasa tidak puas hati terhadap ketiadaan jawatan dalam kerajaan.
Ti berkata, PAS harus memperjuangkan naratif lebih universal, inklusif dan toleransi bukan dogmatik.
“PAS perlu menjadi parti yang mewakili semua, bukannya sekadar mewakili Melayu-Islam,” katanya.
Bekas timbalan menteri perpaduan itu juga berkata, PAS perlu meredakan pendiriannya terhadap agama dan budaya bukan Islam.
“Setiap kali PAS gagal untuk berkompromi atau bersikap toleransi, parti itu menampakkan wajah hodohnya dan dilihat sebagai sebuah parti yang menghukum serta menolak kepelbagaian.
“Dan perkara ini pastinya akan menakutkan pengundi bukan Melayu yang akan menjauhkan diri daripada PAS,” katanya.