
Ketua Polis Negara Mohd Khalid Ismail berkata, lelaki itu masih ditahan di Thailand dan siasatan lanjut akan dijalankan dengan kerjasama pihak berkuasa negara jiran itu.
“Berdasarkan maklumat awal daripada IPK Kedah, lelaki itu ditahan bersama beberapa laras raifal serta peluru ketika sedang memandu kenderaan bernombor plat Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas sebuah acara di Maktab PDRM Kuala Kubu Bahru, lapor Bernama.
“Siasatan sedang dijalankan termasuk dakwaan bahawa senjata terbabit dalam perjalanan untuk dibawa masuk ke Malaysia. Setakat ini hanya seorang ditahan, namun siasatan akan diperluas untuk mengenal pasti modus operandi dan organisasi di sebalik kegiatan ini.
Semalam, media melaporkan seorang rakyat Malaysia ditahan bersama raifal dan ratusan butir peluru yang disyaki dibelinya di Thailand untuk diseludup masuk ke negara ini.
Mohd Khalid berkata, kawalan keselamatan di sempadan Malaysia–Thailand masih berada dalam keadaan baik dan terkawal setakat ini.
Dalam perkembangan lain, Mohd Khalid berkata, kawalan keselamatan bagi pemimpin negara termasuk Sultan dan ketua negeri sedang diperkukuh susulan insiden seorang wanita tempatan cuba menyerang Sultan Perak Sultan Nazrin Shah di pentas utama sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri pada Sabtu lepas.
“Kita juga akan meningkatkan (penyertaan) kursus bodyguarding dan menerapkan elemen-elemen Unit Tindakhas dan komando supaya dapat diperkemas tugasan semua pegawai yang bertugas dengan pihak istana dan kerajaan negeri,” katanya.