Protes di Indonesia: Persatuan pelajar Malaysia diminta hantar laporan harian

Protes di Indonesia: Persatuan pelajar Malaysia diminta hantar laporan harian

Education Malaysia Indonesia turut mengeluarkan notis bagi memastikan setiap pelajar sentiasa menjaga keselamatan serta tidak menyertai atau mendekati kawasan rusuhan.

Penunjuk perasaan bertempur dengan polis di luar bangunan Parlimen di Denpasar, Bali pada Sabtu lalu. (Gambar EPA Images)
PETALING JAYA:
Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia (PKPMI) diminta menghantar laporan situasi harian kepada Education Malaysia Indonesia (EMI) susulan protes antikerajaan di republik itu yang meragut enam nyawa.

EMI berkata, ia turut mengeluarkan notis kepada PKPMI bagi memastikan setiap pelajar sentiasa menjaga keselamatan serta tidak menyertai atau mendekati kawasan rusuhan.

“PKPMI pusat dan cawangan turut diarahkan menghantar laporan situasi harian kepada pihak EMI dan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta bagi tujuan pemantauan,” katanya menurut Kosmo.

Kira-kira 1,000 pelajar Malaysia sedang melanjutkan pengajian di beberapa wilayah di Indonesia.

Yang Dipertua PKPMI Cawangan Jambi, Ahmad Dhia Hariz Rahisham, menasihatkan semua ahlinya mengelakkan lokasi demonstrasi.

Beliau berkata, keadaan di wilayah itu masih terkawal dan tidak membahayakan keselamatan pelajar Malaysia berbanding lokasi lain, khususnya di Kepulauan Jawa.

“Kami turut diingatkan oleh pihak EMI dan Duta Besar Malaysia di Jakarta agar tidak terlibat dalam aktiviti demonstrasi, selain diminta mengemas kini keadaan semasa di Jambi.

“Alhamdulillah, setakat ini semua pelajar dalam keadaan selamat.”

Sebelum ini, media melaporkan ketegangan memuncak selepas kematian seorang penunggang ojek, Affan Kurniawan akibat dilanggar kenderaan polis semasa demonstrasi di Jakarta.

Protes pada awalnya berpunca daripada rasa tidak puas hati terhadap elaun perumahan Ahli Parlimen mencecah 50 juta rupiah (RM14,5000) sebulan, ditambah ketegangan ekonomi seperti kenaikan kos sara hidup, pemecatan besar-besaran dan cukai hartanah membebankan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.