Polis tahan konvoi motosikal bantah kedatangan Trump

Polis tahan konvoi motosikal bantah kedatangan Trump

Kira-kira 50 penunggang motosikal itu ditahan dalam sekatan jalan raya kira-kira 100m dari kedutaan AS di Jalan Tun Razak.

anti trump konvoi
Kira-kira 50 peserta konvoi bermotosikal ditahan polis dalam sekatan jalan raya selepas mengadakan bantahan di hadapan kedutaan Amerika Syarikat di Jalan Tun Razak malam ini.
KUALA LUMPUR:
Kira-kira 50 penunggang motosikal yang berkonvoi bagi menolak kedatangan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump ke Sidang Kemuncak Asean ditahan malam ini dalam satu sekatan jalan raya.

Kumpulan itu memulakan konvoi bermotosikal sambil membawa bendera Palestin dari Kampung Pandan sebelum berhenti berhampiran kedutaan AS pada jam kira-kira 10 malam.

Walaupun dikawal ketat polis, kumpulan itu berkumpul selama 10 minit sambil melaungkan slogan ‘bangkit Malaysia’ dan ‘halau Donald Trump’.

Kumpulan itu kemudiannya ditahan polis menerusi sekatan jalan raya berhadapan Menara Tabung Haji, kira-kira 100m dari kedutaan AS di Jalan Tun Razak.

Trump dijadual tiba di Malaysia esok, bagi menyertai pemimpin-pemimpin negara lain untuk sidang serantau yang ke-47.

Malaysia selaku pengerusi blok 10 negara akan menjadi tuan rumah acara yang akan berlangsung dari 26 hingga 28 Okt.

Semalam, kira-kira 700 peserta berhimpun di luar kedutaan AS bagi membantah kedatangan Trump.

Terdahulu hari ini, Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus sekali lagi memberi amaran kepada penganjur untuk tidak meneruskan himpunan menolak kedatangan presiden AS itu dijangka berlangsung di Ampang Park esok.

Fadil berkata ia kerana lokasi yang dicadangkan itu hanya terletak kira-kira 500m dari ‘zon merah’ Sidang Kemuncak Asean ke-47.

Katanya, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya penganjur masih berdegil.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.