Perjanjian dagangan China tunjuk kita tak gentar dengan AS, kata Anwar

Perjanjian dagangan China tunjuk kita tak gentar dengan AS, kata Anwar

Perdana menteri berkata 'mustahil' untuk tandatangani perjanjian hanya sehari selepas Trump berlepas jika Asean berasa gerun dengan AS.

47th ASEAN Summit and related summits
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berucap pada sidang media susulan majlis penutupan Sidang Kemuncak Asean ke-47 di Kuala Lumpur.
KUALA LUMPUR:
Anwar Ibrahim membidas kritikan Asean dan Malaysia gentar terhadap tekanan Amerika Syarikat (AS), menegaskan blok serantau itu memuktamadkan perjanjian perdagangan yang dinaik taraf dengan China hanya sehari selepas pertemuan pemimpin Asean dengan Presiden Donald Trump.

Ketika berucap pada sidang media selepas majlis penutupan Sidang Kemuncak Asean ke-47, perdana menteri menyatakan keyakinan Malaysia dalam keupayaannya menguruskan hubungan strategik dengan dua kuasa besar dunia itu.

“Sejurus Trump berlepas (Isnin), kita tandatangani Perjanjian Perdagangan Bebas Asean-China (ACFTA) 3.0 yang dinaik taraf (hari ini). Ini membuktikan dasar luar kita seimbang dan berani.

“Sekiranya kita takut dengan AS, sudah tentu mustahil untuk kita tandatangani satu perjanjian besar dengan China hanya sehari selepas Trump berlepas,” katanya di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC)

Anwar berkata, tindakan itu mencerminkan kebijaksanaan diplomatik kolektif negara Asean, menyatakan pendekatan Malaysia sentiasa berpaksikan prinsip serta kepentingan nasional.

Terdahulu, Asean dan China memeterai Protokol Naik Taraf ACTFA 3.0, yang bermatlamat memperkukuh kerjasama ekonomi serantau serta memodenkan kerangka perdagangan blok tersebut dengan rakan dagang utamanya.

Perjanjian itu turut mengandungi peruntukan baharu meliputi aspek persaingan dan perlindungan pengguna, ekonomi digital dan hijau, kesalinghubungan rantaian bekalan, serta penglibatan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Sepanjang lawatan Trump, Malaysia dan AS menandatangani satu perjanjian perdagangan timbal balik yang komprehensif, bertujuan memperkukuh hubungan ekonomi dua hala, meluaskan akses pasaran dan memperteguh daya tahan rantaian bekalan.

Menurut kenyataan bersama dikeluarkan oleh White House, kedua-dua kerajaan menyatakan perjanjian itu akan memberi pengeksport dari kedua-dua negara akses pasaran yang tiada tandingannya, sekali gus mengukuhkan lagi hubungan ekonomi yang sedia terjalin.

Mengulas kritikan mengenai keputusan menerima kunjungan presiden AS, Anwar menegaskan bahawa dasar luar Malaysia tidak akan diolah berdasarkan emosi atau kebencian.

Kunjungan Trump ke Malaysia sebelum ini mencetuskan protes besar-besaran, di mana penunjuk perasaan mengadakan demonstrasi jalanan bagi membantah kehadirannya.

“Ada pihak yang marah dan dakwa (Trump) dilaknat tuhan dan sesiapa yang menyokongnya juga akan menerima nasib sama. Sentimen sebegini boleh menjadikan negara kita bahan jenaka.

“Sekiranya kita memperoleh peluang untuk bertemu pemimpin-pemimpin utama dunia, ia wajar dimanfaatkan untuk menyuarakan pandangan dan mempertahankan kebenaran,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.