
Mengulas rundingan kerusi antara Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Mustapha berkata tiga gabungan itu perlu bersikap berlapang dada.
“Mana-mana kerusi dimenangi parti bertanding pada 2020 mesti ditandingi oleh parti berkenaan (dalam PRN Sabah akan datang),” katanya dalam temu bual dengan Utusan Malaysia semalam.
“Tidak kira sama ada Adun itu sudah melompat parti,” katanya dipetik berkata.
Mustapha berkata beliau berharap semua pihak mematuhi prinsip itu; kegagalan berbuat demikian akan menyukarkan gabungan untuk bekerjasama.
PH mempunyai pakatan berasingan dengan GRS dan BN bagi menghadapi PRN Sabah kerana kedua-dua gabungan itu enggan bekerjasama.
PH adalah sekutu GRS dalam kerajaan negeri, manakala BN bersama Warisan di blok pembangkang. Namun, di peringkat persekutuan, PH dan BN adalah rakan sekutu dalam kerajaan.
Pada 16 Ogos, Timbalan Pengerusi BN Mohamad Hasan berkata BN akan mempertahankan semua kerusi yang dimenangi dan bertanding di semua kerusi tradisi yang sebelum ini diberikan kepada Bersatu pada PRN 2020.
Dalam perkembangan berkaitan, Mustapha berkata PH telah mengadakan beberapa siri pertemuan dengan BN mengenai rundingan kerusi. “Hanya tinggal beberapa kerusi lagi yang perlu diputuskan.”
Beliau turut berkata kerjasama antara dua gabungan itu di peringkat negeri penting memandangkan hubungan baik PH dan BN di peringkat persekutuan. “Kita mahu perkara ini diteruskan di peringkat negeri.”