
Dalam video tular, seorang warganet mendakwa bendera kebangsaan dibawa dengan cara salah dari pelbagai sudut, termasuk dari perspektif pentas utama di mana Yang di-Pertuan Agong dan kenamaan lain berada.

Kekeliruan sebegini bukan perkara baharu. Bendera kebangsaan dalam bentuk tegak juga sering mengundang persoalan kerana bentuk bulan sabit dan bintang pecah 14 sebenarnya direka untuk menghala ke atas, menjauhi jalur-jalur.
Jadi, adakah Jalur Gemilang dibawa secara salah pada perbarisan menyambut kemerdekaan berlangsung, Ahad lalu? FMT meneliti dengan lebih dekat.
Cara betul kibar bendera
Dalam buku panduan rasmi bertajuk ‘Jalur Gemilang’ diterbitkan pada 2020 oleh Jabatan Penerangan bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia dinyatakan:
“Jika Jalur Gemilang dibawa dalam perbarisan secara terbentang, bahagian kepala bendera mestilah mendahului perarakan, sama seperti jika bendera itu dikibarkan pada tiang.”
Pada perbarisan 31 Ogos lalu, pentas tetamu kehormat (VVIP) ditempatkan di sebelah kanan kontinjen perarakan.
Mengambil barisan hadapan perarakan sebagai mewakili tiang bendera tidak kelihatan, bahagian biru (kanton) yang mengandungi bulan sabit dan bintang telah diletakkan dengan betul di bahagian kiri hadapan kontinjen.
Siapa yang tetapkan peraturan rasmi bendera?
Menurut garis panduan rasmi, perkara utama yang perlu dan tidak boleh dilakukan terhadap Jalur Gemilang adalah seperti berikut:
Sentiasa pastikan bersih dan tidak menyentuh tanah.

Apabila pada tiang, bendera mesti dikibarkan secara mendatar, dengan kanton biru di bahagian atas sebelah kiri.
Jika dikibarkan di luar pada waktu malam, ia mesti disinari lampu.
Jangan gunakan bendera kebangsaan pada pakaian, alas meja, atau untuk tujuan iklan.
Jangan ubah suai atau memesongkannya.
Apa berlaku jika bendera dipamerkan secara salah?
Beberapa undang-undang merangkumi penggunaan bendera, termasuk Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 dan Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Pameran) 1949.
Penggunaan tidak wajar boleh membawa hukuman denda atau penjara. Di bawah Akta Lambang dan Nama, pesalah boleh dikenakan penjara sehingga tiga tahun atau denda RM20,000, atau kedua-duanya sekali.
Akta Lambang Kebangsaan pula memperuntukkan denda sehingga RM500 atau penjara enam bulan bagi individu, dan sehingga RM1,000 bagi syarikat.
Penggunaan tidak wajar juga boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Hasutan 1948 atau Kanun Keseksaan sekiranya ia dianggap menghina lambang negara.
Di bawah Akta Hasutan, menghina bendera boleh dikenakan hukuman penjara tiga tahun atau denda RM5,000.