
Ketuanya, Azhar Zainal Abidin, berkata dua kerusi berkenaan sudah lama ditandingi Umno dengan rekod khidmat cemerlang kepada rakyat, meskipun BN tewas di Mersing pada PRU15.
Pada PRU 2022, Perikatan Nasional (PN) menang di Mersing menerusi calonnya, Muhammad Islahuddin Abas dalam pertembungan empat penjuru.
Pada PRU14, kerusi berkenaan dimenangi Abdul Latiff Ahmad atas tiket BN sebelum berhijrah ke Bersatu.
“Rakyat Mersing dan Endau lebih mengenali siapa yang benar-benar bekerja untuk mereka dan siapa yang hanya datang menabur janji ketika musim pilihan raya,” kata Azhar dalam kenyataan.
Azhar berkata Pemuda Umno akan memperkukuh gerak kerja di lapangan untuk merampas semula kerusi berkenaan.
“Kita tidak boleh leka dengan percaturan politik pihak lawan sebaliknya, mesti lebih agresif mendekati rakyat, menyelesaikan masalah dan mengangkat agenda pembangunan belia serta masyarakat setempat,” katanya.
“Kekuatan akar umbi yang padu bersama semangat perjuangan diwarisi akan memastikan kerusi Parlimen Mersing dan DUN Endau bakal dirampas kembali di bawah panji Umno-BN.”
Khamis lalu, Ketua PKR Johor Dr Zaliha Mustafa dipetik berkata barisan kepimpinan baharu negeri itu mahu merampas semula tiga kerusi Parlimen pada PRU akan datang termasuk Mersing.
Sebelum ini, Amanah Johor menyatakan hasrat bertanding 12 hingga 20 kerusi DUN pada pilihan raya akan datang, berikutan tiada rundingan jelas antara Pakatan Harapan (PH) dan BN di Johor.