
Polis merampas 4 tan dadah bernilai RM17.7 juta, yang juga rampasan terbesar di Johor tahun ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Hussein Omar Khan, berkata seorang lelaki tempatan berusia awal 40-an yang bertindak sebagai ‘transporter’ menerima dan menghantar bungkusan dalam bentuk bongkah kayu ke kilang turut ditahan di Seri Alam.
Beliau berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kebakaran sebuah kilang kira-kira 4.30 petang 14 Sept lalu.
“Hasil pemeriksaan mendapati kilang itu dijadikan makmal dadah haram. Polis bersama JSJN Bukit Aman merampas pelbagai jenis dadah dan bahan kimia,” katanya menurut Sinar Harian dalam sidang media di IPD Kulai.
Beliau berkata, satu dulang besi bersama 14 bekas plastik berisi 75kg erimin 5, satu kotak bersama tiga bekas plastik berisi pil erimin 5 (24.69kg), tiga dulang besi mengandungi 16 plastik bersama dua kotak serbuk bahan kimia (79.01kg), 11 tong berisi cecair bahan kimia (1.8 tan) ditemui.
Katanya, polis kemudian menemui kilang kedua dijadikan tempat menyimpan bahan kimia untuk memproses pelbagai dadah di Desa Idaman, Senai, 1km dari makmal pertama.
Menurutnya, antara yang ditemui 10 botol berisi cecair methamphetamine seberat 250kg, satu plastik lutsinar berisi ketamin 20kg dan serbuk prekursor 1.7 tan.
“Turut disita empat kenderaan pelbagai jenis dengan nilai keseluruhan sitaan harta RM161,000, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan dan sitaan RM17.93 juta,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Beliau berkata, polis giat mengesan tiga suspek disyaki dalang utama sindiket itu yang dipercayai aktif sejak awal Februari lalu.
Jelasnya, dua kilang itu yang menyamar sebagai kilang produk teknologi disewa sejak dua tahun lalu dan rampasan dadah kali ini boleh digunakan 1.8 juta penagih.
Katanya, suspek yang ditahan itu negatif dadah, tetapi mempunyai rekod lampau berkaitan narkotik dan kini direman 12 hari sehingga Isnin depan.