Abdul Rashid Hussain dilantik semula pengerusi Tabung Haji

Abdul Rashid Hussain dilantik semula pengerusi Tabung Haji

Beliau dilantik semula sebagai pengerusi dan anggota Lembaga Tabung Haji bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa 20 Dis 2025.

Abdul Rashid Hussain dilantik sebagai pengerusi TH pada 20 Dis 2023 untuk tempoh dua tahun sebelum disambung bagi penggal baharu bermula 20 Dis 2025 hingga 19 Dis 2027.
KUALA LUMPUR:
Kerajaan melantik semula Abdul Rashid Hussain sebagai pengerusi dan anggota Lembaga Tabung Haji (TH) bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa 20 Dis 2025.

TH dalam kenyataan berkata, pelantikan itu mencerminkan keyakinan berterusan kerajaan terhadap kepimpinan Rashid yang telah memacu pembaharuan strategik dan tadbir urus yang signifikan kepada institusi berkenaan.

“Sejak menerajui TH pada 20 Dis 2023, Rashid telah memacu beberapa pencapaian utama, termasuk memperkukuh kedudukan kewangan dan meningkatkan pulangan kepada pendeposit.

“Ini dibuktikan melalui kejayaan TH mencatat keuntungan yang memberangsangkan dan memastikan pengagihan dividen yang kompetitif dan mampan,” kata kenyataan itu.

Bagi tahun kewangan 2024, TH mencatat keuntungan berjumlah RM2.92 bilion dan berjaya meningkatkan jumlah aset di bawah pengurusan (AUM) kepada kira-kira RM95.06 bilion.

TH turut menerima pengiktirafan antarabangsa apabila dianugerahkan Labaytum Diamond Award oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi pada Musim Haji 1446H/2025M iaitu pengiktirafan tertinggi bagi agensi pengurusan haji.

Sementara itu, Rashid dalam kenyataan sama merakamkan penghargaan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar atas kepercayaan diberikan untuk meneruskan transformasi TH.

“Saya bersyukur dan amat berbesar hati atas peluang untuk terus menabur bakti bersama-sama warga TH yang cukup komited, ke arah memperkukuh kedudukan kewangan TH supaya lebih mampan dan lestari melalui usaha penambahbaikan dan inovasi untuk terus mengembangkan dana pendeposit serta memudahkan urusan para jemaah dalam menunaikan ibadah haji.

“Matlamat kami adalah untuk memperkukuh TH sebagai sebuah institusi simpanan Islam yang dihormati. Ini juga selaras dengan hasrat Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya TH sentiasa menambah baik tatakelola dan tadbir urus agar memberi manfaat kepada para pendeposit,” katanya

Rashid dilantik sebagai pengerusi TH pada 20 Dis 2023 untuk tempoh dua tahun sebelum disambung bagi penggal baharu bermula 20 Dis 2025 hingga 19 Dis 2027.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.