
Mufti Pulau Pinang Sukki Othman kata persediaan itu perlu memandangkan ibadah haji menuntut kekuatan fizikal, mental dan kestabilan emosi, kerana melibatkan aktiviti padat, cuaca ekstrem, serta pergerakan jutaan jemaah.
“Kerajaan melalui Tabung Haji (TH) dan Kementerian Kesihatan (KKM) perlu memperkukuh saringan serta pendidikan kesihatan awal supaya bakal jemaah bersedia dari segi jasmani dan rohani.
“Umat Islam pula digalakkan menjaga kesihatan, mengawal penyakit kronik dan memastikan mereka benar-benar berupaya menunaikan ibadah secara berdikari,” katanya, mengulas syarat kesihatan untuk menunaikan haji bagi musim 1447H/2026M.
Pada 19 Okt lalu, Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad, memaklumkan bahawa berupaya menjalankan ibadat haji dengan sendiri antara syarat yang perlu dipatuhi untuk memperoleh visa, selain bebas daripada penyakit berjangkit, penyakit serius atau penyakit kronik tidak terkawal.
Pada 22 Okt, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Na’im Mokhtar berkata hanya 3% daripada 31,600 bakal jemaah haji Malaysia tidak memenuhi syarat baharu yang diperketatkan oleh kerajaan Arab Saudi.
Dalam pada itu, TH beri jaminan tidak akan menafikan hak mana-mana pendeposit untuk menunaikan fardu haji terutama dalam kalangan warga emas.
Mengulas lanjut, Sukki berkata langkah kerajaan Saudi itu sejajar prinsip maqasid syariah yang menekankan penjagaan nyawa.
“Haji hanya wajib bagi mereka yang benar-benar mampu, termasuk dari segi fizikal dan kesihatan,” jelasnya.
Beliau menerangkan bahawa ‘kemampuan’ meliputi fizikal, kesihatan, kewangan dan keselamatan, menurut para ulama.
Sukki turut mengingatkan bakal jemaah jangan hanya menabung untuk kos menunaikan haji, tetapi juga untuk rawatan dan ubat-ubatan agar sihat untuk mengerjakan haji.
“Jumpa doktor, kawal penyakit kronik, amalkan gaya hidup sihat dan bersenam. Rancang kewangan dan kesihatan secara seiring,” katanya.
Sementara itu, pakar perubatan kesihatan awam, Dr Zainal Ariffin Omar menyarankan bakal jemaah menjalankan pemeriksaan kesihatan secara berkala dan mendapatkan nasihat perubatan tanpa menunggu surat tawaran, bagi memastikan tahap kesihatan stabil sebelum tiba musim haji.
Menurutnya, hampir semua jemaah usia 50 tahun ke atas ada sekurang-kurangnya satu faktor risiko.
“Untuk stabilkan tahap kesihatan yang sederhana pun sekurang- kurangnya tiga bulan,” katanya.