Gunakan kebebasan bersuara dengan berhemah, titah Sultan Selangor

Gunakan kebebasan bersuara dengan berhemah, titah Sultan Selangor

Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah penting menghormati pemerintah yang dipilih melalui sistem demokrasi.

Pandangan dan kritikan mestilah diluahkan secara berhemah demi kebaikan bersama, titah Sultan Sharafuddin Idris Shah sempena Hari Kemerdekaan ke-68. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sultan Selangor bertitah kebebasan bersuara yang dijamin Perlembagaan mesti digunakan dengan penuh berhemah, demi menjaga keharmonian masyarakat dan kestabilan negara.

Dalam perutusan khas sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-68, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyeru rakyat merenung kembali erti sebenar kemerdekaan yang diperjuangkan pejuang bangsa.

Titah baginda, kemerdekaan bukan sekadar sambutan bersifat simbolik, tetapi amanah besar yang menuntut setiap warganegara memeliharanya dengan rasa tanggungjawab, semangat perpaduan serta jati diri kukuh.

“Segala pandangan dan kritikan mestilah diluahkan secara berhemah demi kebaikan bersama,” titah baginda dalam kenyataan.

“Ia tidak wajar dijadikan wadah untuk menyebarkan fitnah atau tohmahan yang boleh memecahbelahkan masyarakat serta menjatuhkan maruah orang lain.”

Sultan Selangor turut menekankan kepentingan mengekalkan semangat perpaduan antara kaum, agama dan budaya, selain menanam semangat cintakan negara dan menghormati pemerintah yang dipilih melalui sistem demokrasi.

Baginda menekankan kepentingan membina masyarakat yang bersatu, saling menghormati dan menghayati nilai-nilai kesetiaan serta tanggungjawab dalam kehidupan seharian.

“Sempena sambutan kemerdekaan, ambil peluang untuk memperkukuh pembangunan diri, keluarga dan negara. Kembali kepada prinsip-prinsip Rukun Negara yang menjadi asas penyatuan rakyat sejak negara mencapai kemerdekaan,” titah baginda.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.