
“Orang yang bercakap ini kadang-kadang tak pernah tengok orang ada enam anak duduk di flat satu bilik.
“Dia (penkritik) tak fikir, dia hanya cakap teori. Harus turun dan tengok sendiri,” katanya kepada wartawan selepas merasmikan Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE).
Anwar berkata wakil rakyat juga harus turun dan melihat sendiri keadaan penduduk di perumahan seperti itu untuk merasai kesusahan mereka.
Beliau juga sekali lagi menafikan tuduhan bahawa RUU itu bertujuan mengusir orang Melayu dari bandar.
Anwar berkata berdasarkan penjelasan yang diberikan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, dakwaan bahawa masyarakat Cina akan merampas rumah-rumah itu daripada penduduk Melayu adalah tidak berasas.
Katanya, pentadbirannya akan melindungi kepentingan semua kaum, khususnya dalam kalangan kumpulan M40 dan B40.
“Ramai orang Melayu miskin, begitu juga dengan masyarakat India di beberapa kawasan. Kita perlu memberi tumpuan kepada hal-hal sebegini,” katanya sambil menambah bahawa kerajaan bersetuju menaikkan nilai ambang bagi pembangunan semula sebanyak kira-kira 80%.
Anwar juga menekankan perlunya usaha untuk bangunkan kawasan dan bantu rakyat miskin miliki rumah yang lebih selesa.
Semalam, Anwar menolak tuduhan bahawa kerajaan mengenepikan orang Melayu melalui RUU yang itu. Beliau berkata sebahagian daripada tanggungjawabnya ialah menjaga kebajikan orang Melayu di kawasan bandar.
RUU PSB, yang dibentangkan Nga untuk bacaan kali pertama Khamis lalu, bertujuan menggantikan undang-undang dan peraturan lapuk yang mengawal pembangunan semula kawasan bandar usang.
Namun, ia mendapat tentangan daripada pembangkang serta beberapa Ahli Parlimen kerajaan.
Perbahasan mengenai rang undang-undang itu ditangguhkan ke Mesyuarat Dewan Rakyat pada Oktober nanti