
Fahmi yang juga menteri komunikasi berkata jawatankuasa dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said itu akan bermesyuarat kali pertama pada 2 Sept ini.
Menurutnya, jawatankuasa itu akan menyelaraskan beberapa perkara seperti tribunal antibuli, SOP di asrama bagi memastikan keselamatan murid dan memastikan semua memahami pindaan beberapa perundangan seperti Seksyen 507 Kanun Keseksaan bermula 1 Julai lalu.
“Kita nak selaraskan supaya semua bergerak sekali, wakil daripada Jabatan Peguam Negara akan turut bersama sebagai ahli dalam jawatankuasa selain kementerian tertentu.
“Ini termasuk Kementerian Komunikasi contohnya Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) yang membabitkan buli siber,” katanya pada sidang media mingguan.
Langkah memperkukuh pencegahan buli di sekolah timbul susulan insiden menimpa pelajar Tingkatan Satu di Sabah, Zara Qairina Mahathir.
Zara ditemui tidak sedarkan diri pada 16 Julai lalu selepas dipercayai jatuh dari tingkat tiga asrama, sebelum meninggal dunia di hospital keesokannya.
Pada 20 Ogos, lima remaja didakwa di Mahkamah Kanak-kanak Kota Kinabalu atas tuduhan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap Zara yang boleh menyebabkan mangsa tertekan.
Mereka didakwa berbuat demikian antara 10 hingga 11 malam pada 15 Julai lalu di SMK Agama Tun Datu Mustapha, Papar.
Rabu lalu, Azalina berkata pihaknya akan melaksanakan sesi libat urus dengan pelbagai pihak termasuk Pejabat Pesuruhjaya Kanak-kanak (OCC) berhubung penggubalan akta antibuli melalui sistem tribunal.