
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, M Kumar berkata semua suspek berusia 18 hingga 42 tahun itu ditahan pada 1.20 pagi ketika berada dalam sebuah kereta jenis Mazda 5.
Beliau berkata pemeriksaan ke atas beg milik suspek lelaki tersebut menemukan beberapa peket plastik berisi syabu, heroin, ganja dan pil ekstasi.
“Kita turut menemui sepucuk pistol semi automatik, selaras peredam bunyi, satu kelopak peluru serta 175 butir peluru hidup disembunyikan di bonet hadapan kereta,” katanya pada sidang media di IPK Johor.
Kumar berkata hasil siasatan lanjut mendapati lelaki berkenaan mempunyai 23 rekod lampau jenayah dan dadah, sementara dua wanita tersebut pula masing-masing mempunyai dua dan 17 rekod sama.
Beliau berkata lelaki itu yang didapati positif dadah jenis metamfetamin dan morfin turut terlibat dalam kejadian samun dan melepaskan satu das tembakan di sebuah klinik swasta di Masai pada 19 Julai lepas.
Kes disiasat mengikut Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Akta Dadah Berbahaya 1952.