Victor Chin antara 10 individu ditahan, ratusan juta aset disita

Victor Chin antara 10 individu ditahan, ratusan juta aset disita

Polis beku dan sita lapan hartanah, 32 kenderaan, akaun Sistem Depositori Pusat bernilai RM323,588,293, akaun dagangan RM64,246,417, dan 404 akaun bank RM85,624,528.

Victor Chin Boon Long
Bukit Aman berkata Chin ditahan pada Disember lalu dan dibebaskan dengan jaminan polis kerana disyaki terlibat pengubahan wang haram. (Gambar MMAG)
PETALING JAYA:
Polis mengesahkan ahli perniagaan Victor Chin antara 10 individu yang ditahan kerana disyaki terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram menerusi Op Viking dari 15 Okt 2025 hingga 13 Jan lalu.

Ketua Pasukan Unit Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (Amla) Bukit Aman, Fazlisyam Abd Majid, berkata Chin ditahan pada Disember lalu dan dibebaskan dengan jaminan polis, namun ahli perniagaan itu mungkin dipanggil semula sekiranya perlu.

Beliau berkata, sembilan individu lain yang ditahan terdiri daripada enam lelaki dan tiga wanita yang dipercayai mempunyai kaitan langsung dalam siasatan kes itu sudah dibebaskan dengan jaminan polis, manakala 40 lagi telah dipanggil untuk memberi keterangan.

Fazlisyam berkata, Op Viking dilaksanakan berdasarkan maklumat dan risikan aktiviti pengubahan wang haram sejak 2018 dengan satu kertas siasatan dibuka pada 25 Okt 2025 mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

“Kes ini melibatkan beberapa individu yang kita syaki melakukan jenayah pengubahan wang haram dengan pelbagai cara antaranya membeli atau memiliki syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia dan syarikat persendirian,” katanya menurut Bernama pada sidang media, di Kuala Lumpur.

Beliau berkata, menerusi operasi itu, polis membeku dan menyita pelbagai aset termasuk lapan hartanah, 32 kenderaan dan 1,100 unit saham milik dua syarikat sendirian berhad, akaun Sistem Depositori Pusat (CDS) bernilai RM323,588,293, akaun dagangan (RM64,246,417), dan 404 akaun bank berjumlah RM85,624,528.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 27B dan Seksyen 29B Akta Pemberi Pinjam Wang 1951, Seksyen 176 Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 serta Seksyen 221 Akta Syarikat 2016.

Pada 16 Mac, polis menyerbu beberapa premis milik Chin yang didakwa terbabit dalam manipulasi korporat.

Mengulas mengenai perkara itu, Fazlisyam berkata pihaknya belum menerima sebarang laporan berhubung dakwaan Chin bahawa seorang Ahli Parlimen meminta bayaran RM10 juta bagi membantu menyelesaikan isu manipulasi korporat dihadapinya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.