Mayat reput ditemukan dalam bungkusan kanvas di Pulau Angsa

Mayat reput ditemukan dalam bungkusan kanvas di Pulau Angsa

Hasil bedah siasat dapati mangsa meninggal dunia kerana lemas akibat dijerut pada leher, menurut polis.

Azaharudin Tajudin
Ketua Polis Kuala Selangor Azaharudin Tajudin berkata, setakat ini, identiti mangsa belum dikenal pasti dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Mayat seorang lelaki yang sudah mereput di dalam satu bungkusan kanvas ditemukan di kawasan tebing batu Pulau Angsa, Jeram, Kuala Selangor pada Sabtu lepas.

Ketua Polis Kuala Selangor Azaharudin Tajudin berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam kira-kira 4.50 petang yang memaklumkan penemuan bungkusan mencurigakan yang berbau busuk itu ketika sedang memancing di lokasi berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut oleh pasukan forensik polis mendapati bungkusan itu mengandungi mayat yang sudah mereput, dibalut dengan kanvas dan diikat menggunakan tali,” katanya dalam kenyataan, lapor Bernama.

Menurutnya, mayat kemudian dibawa ke Bahagian Forensik Hospital UiTM Puncak Alam untuk proses bedah siasat yang dijalankan pada 9 pagi tadi.

Azaharudin berkata, hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia kerana lemas akibat dijerut pada leher.

Setakat ini, identiti mangsa belum dikenal pasti dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sehubungan dengan itu, orang awam yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berdekatan atau pegawai penyiasat kes Khairol Hiysham Shamsudin di talian 03-3289 1222.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.