SPRM bakal terbit buku berkait siasatan 1MDB

SPRM bakal terbit buku berkait siasatan 1MDB

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki berkata buku itu jadi dokumen masyarakat untuk beri kefahaman dan betulkan setiap persepsi.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki berkata SPRM ketika ini menunggu penghakiman penuh kes berkenaan sebelum penerbitan buku itu dilaksanakan. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bakal menerbitkan sebuah buku mengenai siasatan agensi itu selama 10 tahun skandal 1MDB hingga membawa kepada sabitan terhadap bekas perdana menteri, Najib Razak.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki berkata buku berkenaan akan membuat pendedahan sebenar yang tidak mengelirukan dan berdasar fakta penyiasatan serta penghakiman mahkamah semata-mata, lapor Berita Harian.

Beliau berkata buku itu akan menjadi dokumen masyarakat yang bertujuan untuk memberi kefahaman kepada semua pihak terhadap kes berkenaan dan memperbetulkan setiap persepsi yang timbul sepanjang kes itu dibicarakan.

“SPRM mahu ia menjadi bahan bacaan awam supaya masyarakat faham, kerana masyarakat hari ini membuat kesimpulan melalui maklumat yang pendek, daripada media sosial. Mereka membuat satu kesimpulan tanpa fakta sebenar.

“Sebagai contoh membabitkan Putera Arab Saudi. Sebenarnya, kalau ikut keterangan, kami sendiri tak tahu siapa putera yang dikatakan itu. Adakah beliau adalah putera yang betul? Ini semua tercatat dalam dokumen mahkamah,” katanya.

Katanya, SPRM ketika ini menunggu penghakiman penuh kes berkenaan sebelum penerbitan buku itu dilaksanakan.

Siasatan terhadap 1MDB bermula secara rasmi pada 2015 dan selepas hampir 10 tahun serta melalui perbicaraan yang panjang, Mahkamah Tinggi pada 26 Dis lalu memutuskan Najib bersalah atas semua 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.

Hakim Collin Lawrence Sequerah kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion terhadap Najib.

Hukuman ini akan berkuat kuasa selepas Najib selesai menjalani tempoh pemenjaraan selama enam tahun bagi kes membabitkan SRC International, yang akan berakhir pada 23 Ogos 2028.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.