Inovasi tanpa pengetahuan paten adalah kesilapan mahal

Inovasi tanpa pengetahuan paten adalah kesilapan mahal

Penerbitan memajukan sains dan menaikkan kedudukan universiti di dunia. Paten pula menjelmakan pengetahuan kepada nilai ekonomi dan sosial.

Hampir setiap hari, kita diingatkan tentang keperluan mendesak untuk mengkomersialkan hasil penyelidikan universiti dan institut negara, lebih-lebih lagi apabila Malaysia membelanjakan sekitar RM18.2 bilion setahun, bersamaan 1% daripada KDNK, untuk penyelidikan dan pembangunan.

Jika Malaysia benar-benar serius untuk menjayakan inspirasi ini, satu keupayaan kritikal masih dipandang ringan ialah carian dan analisis paten yang berkesan. Kegagalan pengkomersialan jarang berpunca daripada kekurangan idea, tetapi lebih kerap disebabkan ketiadaan gambaran jelas tentang teknologi sedia ada, saiz pasaran, serta kedudukan ciptaan baharu dalam landskap global yang sengit.

Di sinilah sistem paten memainkan peranan yang amat berbeza daripada penerbitan akademik. Sistem paten di seluruh dunia mempunyai dua objektif utama: menggalakkan pendedahan dan perkongsian pengetahuan teknikal untuk manfaat masyarakat, serta memberi perlindungan undang-undang bagi merangsang pelaburan, pengkomersialan dan kemajuan teknologi.

Penerbitan akademik pula bertujuan menyebarkan ilmu dan membina reputasi ilmiah, dengan nilai diukur melalui sitasi dan pengiktirafan rakan sebidang. Paten pula merupakan instrumen undang-undang dan ekonomi. Ia mendedahkan cara sesuatu ciptaan berfungsi untuk mendapatkan hak monopoli sehingga 20 tahun dari negara tersebut.

Perlindungan inilah yang membolehkan syarikat menanggung kos pembangunan, pembuatan dan kemasukan pasaran. Perbezaan ini bersifat praktikal, bukan teori. Penerbitan lazimnya melaporkan penyelidikan peringkat awal, manakala paten mengandungi butiran pelaksanaan, variasi reka bentuk dan pengetahuan industri yang jarang muncul dalam terbitan akademik.

Malaysia sebenarnya bukanlah negara yang baharu mengunakan pendekatan ini. Selama hampir lima tahun, penyelidik yang dibiayai oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) diwajibkan menjalankan carian paten menggunakan platform seperti www.lens.org sebagai sebahagian daripada permohonan geran.

Ini mencerminkan kesedaran bahawa kebaharuan penyelidikan perlu dinilai bukan sahaja berbanding literatur akademik, tetapi juga landskap paten global. Kesedaran terhadap landskap komersial membantu KPT membelanjakan peruntukan secara berhemah sambil menggalakkan penyelidik memikirkan aplikasi komersial kajian mereka.

Namun dalam amalan, carian paten masih sering dianggap sekadar pematuhan prosedur, bukannya keupayaan strategik. Ramai penyelidik, PKS dan syarikat pemula gagal memanfaatkan data paten untuk mengelakkan penduaan, mengenal pasti ruang kosong teknologi, atau membina kerjasama bernilai tinggi.

Kesimpulannya jelas: pembiayaan inovasi tanpa kecerdasan paten (patent intelligence) adalah tidak bermakna dan membazir wang. Malaysia sudah mempunyai alat, pengalaman dan akses. Apa yang diperlukan kini adalah integrasi sistematik di dalam kurikulum, penilaian geran, agensi pengkomersialan dan program sokongan industri.

Penerbitan memajukan sains dan menaikkan kedudukan universiti di dunia. Paten pula menjelmakan pengetahuan kepada nilai ekonomi dan sosial. Negara yang serius tentang inovasi mesti memahami dan menggunakan kedua-dua sistem terbitan dan paten dengan efektif.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.