
Dr Lee Boon Chye berkata terdapat halangan budaya dan agama yang membuatkan orang ramai bimbang untuk menjadi penderma organ dan pendidikan adalah kunci untuk mengatasi halangan itu.
Sistem ‘opt-out’ untuk pendermaan organ, di mana seseorang itu diandaikan sebagai penderma melainkan mereka telah menyatakan tidak mahu menderma, telah dicadangkan oleh badan pemikir Pusat Galen baru-baru ini.
Dr Lee berkata sistem itu di Singapura membenarkan waris membantah pendermaan organ orang tersayang mereka.
“Keizinan daripada ahli keluarga tetap diperlukan walaupun si mati tidak ‘opt out’,” katanya kepada FMT. “Pendidikan dan bimbingan agama adalah penting untuk memastikan penerimaan orang ramai sebelum Kementerian Kesihatan boleh memulakan perundangan.”
Lee juga menggesa publisiti lebih meluas mengenai perlunya lebih ramai orang menjadi penderma organ.
“Begitu juga dialog dengan pemimpin agama. Perlu ada fatwa jelas daripada pihak berkuasa Islam mengenai pendermaan organ. Kebanyakan budaya, termasuk orang Cina, tidak memihak kepada pendermaan organ, tetapi generasi muda berubah,” kata Dr Lee, yang merupakan pengerusi biro kesihatan PKR.
Sambil menyokong langkah itu, beliau percaya memperkenalkan sistem sedemikian bukanlah keutamaan buat masa ini kerana Kementerian Kesihatan mempunyai perkara yang lebih mendesak.
Ketua Pegawai Eksekutif Galen Center Azrul Khalib berkata sistem itu boleh menyelamatkan beribu-ribu nyawa dengan mengurangkan dengan ketara senarai menunggu lebih 10,000 pesakit yang memerlukan pemindahan.
Persatuan Perubatan Malaysia berkata kajian lanjut perlu diadakan mengenai cadangan itu, sambil menambah kesedaran yang lebih tinggi adalah kunci untuk meningkatkan jumlah penderma.
Presiden MMA Dr Kalwinder Singh Khaira berkata pendidikan lebih meluas, penglibatan masyarakat dan outreach akan dapat membantu rakyat Malaysia memahami proses itu dengan lebih baik serta bagaimana pendermaan organ boleh menyelamatkan nyawa.
“Sistem opt-out mungkin memerlukan kajian lanjut, kerana pendermaan organ adalah perkara yang melibatkan pertimbangan peribadi, budaya dan agama.
“Kita menggalakkan rakyat Malaysia mencari maklumat yang tepat dan mengadakan perbincangan terbuka dengan keluarga mereka. Akhirnya, ia adalah pilihan peribadi, tetapi melihat nyawa yang boleh diselamatkan, boleh membantu mereka menghargai kesan keputusan mereka,” katanya.