
CEO Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial, Azrul Khalib, berkata cadangan BNM untuk meningkatkan bilangan katil hospital mampu milik mungkin tidak efektif dalam mengekang kenaikan kos insurans perubatan dan rawatan kerana kekurangan tenaga kerja.
“Membina lebih banyak hospital bukan berorientasikan keuntungan tidak akan menyelesaikan masalah inflasi perubatan jika kita tidak mempunyai tenaga kerja mahir yang mencukupi untuk mengendalikannya,” katanya kepada FMT.
Azrul berkata, fokus sepatutnya diberikan kepada membesarkan tenaga kerja kesihatan dengan menawarkan geran, biasiswa dan latihan kepada pakar, doktor, jururawat serta tenaga kerja lain dalam bidang kesihatan.
Menurutnya, ramai tenaga kerja profesional berhijrah ke negara seperti Singapura, Australia dan United Kingdom kerana tawaran gaji yang lebih tinggi, keadaan kerja yang lebih baik dan peluang pembangunan kerjaya.
Cadangan BNM untuk mengurangkan kos penjagaan kesihatan dibuat dalam Laporan Tahunan 2024 yang dikeluarkan pada Isnin, di mana bank pusat itu menyarankan supaya program Rakan KKM di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) diperluaskan.
Program ini menawarkan perkhidmatan ekonomi premium di hospital awam terpilih bagi rawatan pesakit luar, jagaan harian serta pesakit dalaman.
Bagaimanapun, Azrul berkata butiran asas mengenai inisiatif ini masih tidak jelas.
“Orang ramai tidak mempunyai maklumat lanjut mengenai program ini, selain jumlah hospital yang terlibat dan konsep perkhidmatan ekonomi premium.”
Katanya, cadangan itu tidak menjelaskan bidang perubatan mana yang akan terlibat dan sama ada program ini menawarkan faedah seperti diagnosis lebih cepat atau keutamaan dalam pembedahan.
Terdapat juga kebimbangan sama ada jumlah tenaga kerja perubatan mencukupi untuk menyokong program ini tanpa menjejaskan perkhidmatan sedia ada.
Bagaimanapun, Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia, Dr Kuljit Singh, percaya bahawa Rakan KKM mampu memberi manfaat besar kepada pesakit kerana ia menawarkan perkhidmatan yang lebih mampu milik dan mudah diakses.
Beliau berkata hospital awam dan hospital bukan berorientasikan keuntungan turut memainkan peranan penting dalam memastikan akses kesihatan lebih meluas dengan pilihan rawatan pada pelbagai peringkat untuk kebanyakan pesakit.
Kuljit turut bersetuju dengan cadangan BNM mengenai insentif kerajaan bagi program Rakan KKM.
“Kami sedang mengadakan perbincangan mengenai jenis insentif yang perlu diberikan,” katanya.