
Menurut ketua pegawai eksekutifnya (CEO), Azrul Khalib, ramai rakyat Malaysia kini terbeban dengan bil hospital yang tidak terkawal, penetapan semula harga, serta proses permohonan insurans kesihatan swasta yang tidak munasabah.
Beliau berkata, badan pengawal selia itu mesti mempunyai kuasa autonomi untuk menyemak, meluluskan, mengehadkan, atau menarik balik kenaikan caj hospital dan premium yang tidak berasas.
“Kita perlukan sebuah badan kawal selia tunggal yang bebas dengan mandat yang jelas untuk melindungi pengguna bagi memastikan wujudnya ketelusan, keadilan dan disiplin dalam pasaran kesihatan swasta,” katanya dalam kenyataan.
Azrul turut mempersoalkan keberkesanan langkah mengehadkan pelarasan premium insurans tidak lebih 10% selama tiga tahun seperti yang diumumkan Bank Negara Malaysia Disember lepas, sambil mendedahkan banyak syarikat insurans dan pengendali takaful (ITO) masih gagal mematuhi peraturan itu.
“Kebanyakan ITO dilihat tidak mematuhi had 10% serta skim perlindungan bagi mereka yang berusia lebih 60 tahun,” katanya.
“Meskipun dinafikan oleh pihak pengendali, ejen mereka sendiri melaporkan bahawa semakin ramai pemegang polisi terpaksa menamatkan perlindungan kerana tidak lagi mampu, sekali gus menyebabkan mereka hilang akses kepada jaminan kewangan dan pembayaran balik yang dijanjikan.”
Beliau berkata, antara fungsi utama suruhanjaya itu adalah untuk mengawal selia kadar hospital yang melangkaui yuran perunding dan prosedur, menyemak dan meluluskan cadangan kenaikan kadar serta had siling oleh ITO, menyelaraskan kawal selia ITO dengan penetapan harga hospital, dan menerbitkan laporan tahunan mengenai kemampanan kos penjagaan kesihatan swasta.
Jelasnya, ketiadaan peraturan sebegini berisiko menimbulkan kesukaran kewangan, sesuatu yang sepatutnya dilindungi oleh insurans.
“Apabila ITO menaikkan premium sehingga tidak mampu dibayar, mengenakan bayaran bersama dan deduktibel yang tidak munasabah, serta menggunakan taktik untuk mengehad, menyekat dan mengelak pembayaran atau mengawal rawatan, pemegang polisi boleh terdedah kepada bayaran tunai yang besar di luar kemampuan mereka jika menghidap penyakit serius,” katanya.
Semalam, CodeBlue melaporkan satu tinjauan ke atas 855 pakar perubatan di hospital swasta seluruh negara mendapati hampir kesemua mereka merasakan pihak insurans kesihatan telah melanggar autonomi klinikal mereka.
Selain itu, 99% responden melaporkan bahawa pesakit mereka mengalami masalah insurans kesihatan sepanjang tahun lalu, dengan separuh daripadanya menyatakan antara satu hingga lima pesakit mereka berdepan isu perlindungan setiap bulan, manakala 24% lagi melaporkan enam hingga 10 pesakit sebulan menghadapi masalah yang sama.