MCA ada ‘banyak pilihan’ menjelang PRU16, kata presiden

MCA ada ‘banyak pilihan’ menjelang PRU16, kata presiden

Wee Ka Siong berkata komponen BN itu belum putus gabungan mana akan disertai pada PRU.

KONVENSYEN MCA NEGERI SELANGOR 2025
Presiden MCA Wee Ka Siong, berkata gabungan politik mana akan disertai diputuskan ‘bila tiba masa’.
KUALA LUMPUR:
MCA berteka-teki mengenai gabungan politik bakal disertai pada PRU16 walaupun parti itu komponen teras Barisan Nasional (BN).

Presiden Wee Ka Siong, berkata gabungan politik mana akan diputuskan bila tiba masanya dengan menegaskan MCA ‘ada banyak pilihan’.

“Saya kata kita ada banyak ‘option’. Tapi, setakat ini kalau sesuatu yang belum ditamatkan saya tak akan ceritakan.

“Bukan proses yang penting (tetapi) ialah kesimpulan atau rumusan. Awal lagi…kita tahu apa nak buat,” katanya pada sidang media di Wisma MCA.

Wee berkata demikian ketika diminta mengulas pendirian MCA berdepan PRU akan datang, termasuk gabungan mana akan disertai.

Dalam pada itu ketika ditanya kedudukan MCA dalam BN, Wee berkata parti itu akan terus berpegang kepada prinsip dan menyatakan pendirian secara jelas walaupun ada perkara mungkin tidak dipersetujui.

“Dalam MCA ni kita berprinsip kalau tak setuju, kata tak setuju, jika ada sesuatu yang belum lengkap tapi nak diputuskan juga, kita mesti buat pendirian jelas,” katanya.

Awal bulan lalu, Wee membidas desakan agar parti itu keluar BN, sambil menegaskan sebarang keputusan mengenai hala tuju parti hanya akan diputuskan MCA sendiri.

Terdahulu, beberapa ketua bahagian dan pemimpin akar umbi berpendapat MCA sedang dipinggirkan dan perlu berdikari membina semula kekuatan.

Wee sebelum ini, pernah memberitahu The Straits Times pada Jun, 191 mesyuarat perwakilan MCA akan ‘membincangkan hala tuju dan masa depan parti’ serta membawa cadangan mereka ke Perhimpunan Agung Tahunan, pada Oktober.

Pada Jun lalu, Pengerusi BN Zahid Hamidi yakin MCA akan kekal dalam gabungan.

Beliau yang juga timbalan perdana menteri, berkata MCA selain MIC adalah pemangkin kewujudan BN.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.