‘Kenyataan berasas tanggungjawab’, kata Saifuddin usai diarah bayar Sanusi

‘Kenyataan berasas tanggungjawab’, kata Saifuddin usai diarah bayar Sanusi

Menteri dalam negeri akan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Alor Setar.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata beliau akan terus berpegang kepada prinsip bahawa keterbukaan, integriti dan kebertanggungjawaban adalah asas penting dalam amalan demokrasi. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Saifuddin Nasution Ismail menegaskan segala kenyataannya sebelum ini berkait unsur nadir bumi (REE) di Kedah berasaskan tanggungjawab dalam menyuarakan isu kepentingan awam.

Menteri dalam negeri berkata, beliau akan terus berpegang kepada prinsip bahawa keterbukaan, integriti dan kebertanggungjawaban adalah asas penting dalam amalan demokrasi.

Kenyataan itu menyusul keputusan Mahkamah Tinggi Alor Setar hari ini yang membenarkan tuntutan saman fitnah Menteri Besar Kedah Sanusi Nor terhadap Saifuddin berkaitan ceramahnya dalam satu program pada 2023.

Hakim John Lee Kien How @ Mohamad Johan Lee memerintahkan Saifuddin membayar ganti rugi berjumlah RM670,000 kepada Sanusi.

Mahkamah turut memerintahkan Saifuddin menyiarkan permohonan maaf dalam akhbar utama Melayu dan Inggeris dalam tempoh 14 hari, dengan terma diluluskan Sanusi.

Saifudin berkata, beliau menghormati keputusan itu dan mengarahkan peguamnya segera memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan selain memohon penangguhan pelaksanaan.

“Setelah meneliti keputusan tersebut bersama pasukan guaman, saya berpendirian terdapat asas undang-undang yang kukuh untuk dirayu. Justeru, saya telah mengarahkan peguam cara saya untuk segera memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.

“Saya juga akan memohon penangguhan pelaksanaan keputusan berkenaan sementara menunggu proses rayuan selesai,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, sebagai seorang yang menghormati prinsip keluhuran undang-undang, beliau percaya sistem kehakiman negara akan memberikan ruang yang adil baginya mengemukakan hujah dan mempertahankan kebenaran.

Dalam Jelajah Madani sempena kempen PRN 6 negeri, Saifuddin mendakwa Sanusi mencuri REE dan menyeleweng wang peruntukan Sistem Maklumat Rekod-rekod Jalan Raya Malaysia (Marris) berjumlah RM1.6 bilion.

Pada 7 Ogos 2023, Sanusi memfailkan saman fitnah terhadap Saifuddin kerana didakwa mengaitkannya dengan kecurian REE dan penyalahgunaan dana persekutuan yang diperuntukkan untuk projek penyelenggaraan jalan.

Beliau berkata, kenyataan dibuat Saifuddin pada 14 dan 15 Julai 2023 mencemarkan nama baiknya sebagai pemimpin politik.

Dalam ceramah pada 15 Julai, Saifuddin berkata Sanusi perlu mengesahkan sama ada, sebagai pengerusi Menteri Besar Diperbadankan (MBI), beliau telah dikenakan notis kompaun RM500,000 atas dakwaan kecurian nadir bumi di Sik.

Pada sidang media 14 Julai, Saifuddin mendakwa Sanusi menyalahgunakan peruntukan Marris berjumlah RM1.6 bilion yang sepatutnya digunakan untuk tujuan penyelenggaraan jalan raya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.