
Beliau, yang juga menteri besar Kedah, sebaliknya mencadangkan Naib Presiden PAS, Ahmad Samsuri Mokhtar, yang juga rakan sejawatan di Terengganu.
“Saya tak setuju. Ada calon lain lebih layak. Saya cadang Samsuri, menteri besar Terengganu,” katanya kepada FMT, mengulas sokongan beberapa pihak kepada beliau untuk menggantikan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin.
Semalam, Ketua Dewan Ulama Ahmad Yahaya mengumumkan beliau bersetuju sekiranya Sanusi dicadangkan untuk jawatan pengerusi PN, begitu juga Pemuda PAS Selangor.
Meskipun terdapat tiga nama lain ditimbulkan — Timbalan Presiden Bersatu Hamzah Zainudin, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man, dan Samsuri — Sanusi memperoleh sokongan terbuka dalam kalangan PAS, setakat ini.
Sebelum ini, sumber yang dekat dengan pimpinan parti komponen memberitahu FMT bahawa Hamzah, Tuan Ibrahim, dan Samsuri mungkin dipertimbangkan, ketika memaklumkan tentang cadangan menubuhkan suatu ‘majlis penasihat’ bagi memilih pengerusi PN.
“Jawatan itu penting untuk beri gambaran pemimpin utama negara pada masa akan datang,” kata Sanusi kepada FMT.
“Samsuri lebih baik daripada saya.”
Sanusi juga berkata banyak faktor dan aspek perlu diambil kira apabila memilih seseorang pemimpin, dan bukan berdasarkan liputan media.
Beliau turut memberitahu perbezaan antara dirinya dan Samsusi dari segi peranan dalam parti.
“Saya jeneral di medan. Kerja di peringkat akar umbi. Samsuri ahli strategi yang menguruskan hala tuju,” katanya.