
Shanker berkata, usaha untuk berhubung dengan kepimpinan Umno Selangor tidak diendah, malah beliau mendakwa MCA turut berdepan masalah sama.
“Tidak ada hubungan. Hubungan hanya wujud ketika musim pilihan raya atau apabila mereka menganjurkan sesuatu program. Selepas itu, mereka tidak layan kami,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Tahunan MIC Selangor.
“Apabila kami bertanya perwakilan sama ada mereka mahu terus bersama Barisan Nasional (BN), majoritinya berkata tidak. Sudah tentu saya kena bersetuju kerana merekalah suara (akar umbi),” katanya ketika ditanya sama ada beliau turut berpendirian sama.
Mengulas sama ada hubungan dengan Umno sudah keruh, beliau berkata: “Saya tidak pasti sama ada ia keruh atau tidak, tetapi mereka hanya akan mencari kami apabila mahu menganjurkan sesuatu program atau bila ada PRK.”
FMT sedang mendapatkan maklum balas kepimpinan Umno Selangor.
Ditanya mengenai hubungan dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH) Selangor, Shanker berkata, ada dialog terhad dengan kepimpinan negeri selepas pertemuan awal bersama Menteri Besar Amirudin Shari, tahun lalu.
Kedudukan MIC dalam BN kini menimbulkan persoalan susulan usul diluluskan kepimpinan di Kedah, Pulau Pinang, dan Perak untuk menarik diri daripada gabungan bekas parti pemerintah itu, yang mana MIC merupakan antara parti pengasas.
Minggu lalu, Presiden MIC, SA Vigneswaran berkata, parti itu telah mengadakan perbincangan tidak rasmi dengan gabungan pembangkang Perikatan Nasional (PN) mengenai hala tuju politiknya, sambil menegaskan landskap politik yang semakin berubah menuntut tindakan segera bagi memastikan parti itu tidak terus merosot.
Vigneswaran berkata, kepimpinan parti sedang meneliti perkara itu secara serius susulan kelulusan beberapa usul oleh kepimpinan negeri MIC di Kedah, Pulau Pinang, dan Perak, untuk menyokong PN serta kemungkinan keluar BN.
Semalam, MIC Wilayah Persekutuan turut meluluskan usul sama bagi mendesak kepimpinan pusat menarik diri daripada BN.
MIC, yang kini hanya mempunyai satu kerusi di Parlimen Tapah, baru-baru ini, menyuarakan rasa tidak puas hati kerana dipinggirkan dalam kerajaan perpaduan, sambil menyifatkan parti itu seolah-olah menjadi ‘tetamu yang tidak diingini’.
Dilaporkan, Timbalan Presiden M Saravanan mendakwa parti itu telah dijanjikan jawatan Kabinet selepas PRU 2022, namun akhirnya ‘diperdaya’ apabila janji tersebut tidak dipenuhi.
MIC, atau Kongres India Malaysia, ditubuhkan pada 1946 dan merupakan antara parti memimpin perjuangan kemerdekaan Tanah Melayu. Parti itu bersama Umno dan MCA membentuk Perikatan pada 1954, yang memerintah sejak kemerdekaan sehingga 2018. Perikatan kemudiannya diperluaskan pada 1973 untuk membentuk BN.