
Danish berkata, Tei dilihat berselindung di sebalik status pemberi maklumat, sesuatu yang disifatkan sebagai tidak bermoral, hipokrit dan satu penghinaan terhadap usaha negara membanteras rasuah.
“Tegasnya, memberi rasuah secara besar-besaran kemudian tampil sebagai pemberi maklumat bukanlah satu keberanian, sebaliknya pengkhianatan terhadap undang-undang dan nilai integriti negara,” katanya dalam kenyataan.
Sehubungan itu, beliau menuntut pihak berkuasa bertindak segera terhadap Tei.
“Saya menyeru rakyat menolak sebarang cubaan menggugat integriti kerajaan dengan memainkan isu sebegini demi kepentingan politik pihak tertentu.
“Kita tidak boleh membiarkan individu yang jelas bersalah menunggang naratif ‘pembawa kebenaran’ untuk mengelak daripada tindakan undang-undang,” katanya dalam kenyataan.
Beliau mengulas kenyataan Tei yang menolak jawapan Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat berhubung dakwaan rasuah dalam isu perlombongan mineral.
Anwar ketika itu menjelaskan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hanya boleh mendakwa dua Adun — Andi Muhammad Suryady Bandy (Tanjung Batu) dan Dr Yusof Yacob (Sindumin) — kerana tuduhan terhadap enam Adun lain tidak kukuh.
Tei pula mendakwa beliau telah menyerahkan lebih 300 muka surat dokumen, bukan sekadar rakaman video.
Pada Jun lalu, Tei didakwa di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu atas dua pertuduhan memberi rasuah berjumlah RM350,000 berhubung permohonan lesen mencari gali mineral di Sabah kepada dua Adun.
Beliau mengaku tidak bersalah memberi suapan RM200,000 kepada Yusof dan RM150,000 kepada Andi Muhammad.
Adun terbabit juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima rasuah.