Saifuddin persoal komitmen menteri jawab kematian Zara Qairina di Dewan Rakyat

Saifuddin persoal komitmen menteri jawab kematian Zara Qairina di Dewan Rakyat

Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek tidak jawab satu pun persoalan dibangkit mengenai Zara Qairina Mahathir.

Zara Qairina
Zara Qairina Mahathir ditemui tidak sedarkan diri pada 4 pagi 16 Julai selepas didakwa terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolahnya di Papar, Sabah. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang Ahli Parlimen pembangkang meluahkan rasa kecewa sambil mendakwa Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek gagal menjawab persoalan dibangkitkan di Dewan Rakyat mengenai kematian pelajar Tingkatan 1, Zara Qairina Mahathir.

Ahli Parlimen Indera Mahkota, Saifuddin Abdullah, berkata walaupun hampir separuh wakil rakyat mengambil bahagian membahaskan isu buli dan kes kematian Zara, Fadhlina tidak menjawab satu pun persoalan dibangkitkan ketika menggulung perbahasan usul Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), Rabu lalu.

“Pada minggu lalu Dewan Rakyat membahaskan RMK13 termasuk bidang pendidikan dan saya bangun membangkitkan sekali lagi soal Zara, soal siasatan, soal bedah siasat, dan harapan rakyat terhadap inkues yang adil dan telus.

“Hampir separuh Ahli Parlimen berbicara soal buli dan soal Zara, tetapi semasa menggulung, menteri pendidikan tak sentuh langsung perkara tersebut, saya amat kesal dengan menteri pendidikan,” katanya menerusi X.

Katanya, tindakan mengelak itu bukan kali pertama dilakukan Fadhlina, apabila menteri tersebut didakwa turut berbuat demikian semasa Rang Undang-undang (RUU) Pendidikan dibahaskan, pada 30 Julai lalu.

“Pada 30 Julai ketika membahaskan RUU Pendidikan di Dewan Rakyat, saya telah membangkitkan lapan persoalan berkaitan kematian Zara, di depan menteri pendidikan, tetapi beliau tidak menjawab walaupun satu soalan tersebut.

“Adakah menteri pendidikan benar-benar serius mengatasi masalah buli di sekolah dan adakah menteri pendidikan benar-benar komited untuk menegakkan keadilan buat Allahyarhamah Zara Qairina,” soalnya.

Zara ditemui tidak sedarkan diri pada 4 pagi 16 Julai selepas didakwa terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolahnya di Papar, Sabah.

Jenazahnya digali semula pada 9 Ogos bagi membolehkan bedah siasat dijalankan susulan dakwaan kejadian buli.

Inkues bagi menentukan punca dan sama ada wujud unsur jenayah dalam kematian Zara akan bermula 3 Sept ini.

Rabu lalu, lima remaja didakwa di Mahkamah Kanak-kanak Kota Kinabalu atas pertuduhan menggunakan perkataan mencela terhadap Zara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.