Komen inkues Zara, Shafie sudah terima notis tunjuk sebab

Komen inkues Zara, Shafie sudah terima notis tunjuk sebab

Presiden Warisan berkata, dokumen itu telah diserahkan kepadanya semalam.

Mohd Shafie Apdal
Shafie Apdal berkata, beliau diberi tempoh 7 hari untuk menjawab notis tunjuk sebab daripada AGC.
PETALING JAYA:
Presiden Warisan Shafie Apdal berkata, beliau sudah menerima notis tunjuk sebab daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung kenyataannya berkait inkues kematian Zara Qairina Mahathir.

Pada sidang media parti di Kota Kinabalu hari ini, Shafie berkata, notis itu telah diserahkan kepadanya semalam dan beliau diberi tempoh tujuh hari untuk memberikan jawapan, lapor Buletin TV3.

Awal hari ini, Pengarah Pendakwaan Sabah Nahra Dollah, yang bertindak sebagai pegawai pengendali inkues kematian pelajar Tingkatan Satu itu memberitahu pemberita, notis tunjuk sebab itu telah siap untuk diserahkan.

Bagaimanapun, Nahra dilaporkan berkata, pihaknya tidak pasti bila notis itu akan diserahkan kepada bekas ketua menteri Sabah itu.

Pada Isnin lepas, AGC berkata, pihaknya sedang meneliti kenyataan yang dikeluarkan Shafie pada majlis Jelajah Inspirasi DSSA P187 Kinabatangan pada 20 Sept.

Menurut AGC, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas mengikut lunas undang-undang termasuk memulakan prosiding penghinaan mahkamah selepas selesai meneliti kenyataan itu.

Sebelum ini, rakaman video pada satu majlis makan malam yang tular memaparkan Shafie mempersoalkan tempoh panjang prosiding inkues bagi menentukan punca kematian Zara Qairina, 13.

Pelajar SMKA Tun Datu Mustapha di Papar itu disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu pada 17 Julai lepas, setelah ditemukan tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama sekolahnya pada 4 pagi, 16 Julai.

Pada 13 Ogos, AGC mengarahkan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan yang dikemukakan oleh polis dan setakat ini, 10 saksi termasuk dua kanak-kanak telah memberi keterangan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.