
Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Shamsul Iskandar Md Akin, berkata program tersebut dianjurkan tanpa membabitkan kerajaan negeri mahupun mana-mana ahli politik, selain sudah menjadi acara tahunan.
“Mereka (penganjur) hanya memohon pertimbangan perdana menteri untuk mendapatkan sokongan, dan beliau melihat program seperti ini sebagai ruang meraikan kepelbagaian dari seluruh negara serta peluang memberi manfaat kepada rakyat,” katanya menurut Bernama selepas merasmikan program itu di Litar Permotoran Gong Badak, Kuala Nerus.
Shamsul Iskandar berkata demikian mengulas rungutan Menteri Besar Ahmad Samsuri Mokhtar yang mendakwa kerajaan negeri tidak dibenar menyertai program RXZ Members 7.0.
Dilaporkan, Ahmad Samsuri menyuarakan rasa sangat kecewa kerana kerajaan negeri sentiasa menyokong penuh penganjuran program itu, sambil menyifatkan ia ‘politik komang spanar’, merujuk politik kelas rendah.
Hari ini, Pengarah RXZ Members 7.0, Mohd Lukhman Hassan, mengakui terdapat kelemahan dalam aspek jemputan kepada kerajaan Terengganu dan akan memperbaikinya pada penganjuran akan datang.
“Kami mengakui ada terlepas pandang soal jemputan rasmi kerana pada awalnya jemputan dibuat hanya kepada pihak penaja, tetapi penganjur tetap mengambil tanggungjawab penuh untuk isu ini,” katanya menurut Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, Shamsul Iskandar berkata Anwar Ibrahim menyalurkan peruntukan tambahan RM200,000 menjadikan jumlah keseluruhan RM300,000 bagi menyokong penganjuran RXZ Members 7.0 2025, yang berlangsung selama dua hari bermula semalam.
Katanya, peruntukan itu bertujuan menyuntik semangat penganjur untuk terus menganjurkan aktiviti sukan permotoran yang memberi impak ekonomi serta memperkukuh silaturahim.
Beliau berkata, RXZ Members 7.0 yang majoritinya disertai golongan belia menjadi platform penting menghimpunkan peminat sukan permotoran dari seluruh negara, sekali gus mengangkat industri itu ke tahap lebih tinggi.
“Sebelum ini perdana menteri telah memberikan peruntukan RM100,000 dan, hari ini saya mewakili beliau menyampaikan tambahan RM200,000, menjadikan keseluruhan sumbangan RM300,000.
“Bantuan tambahan ini diusahakan sendiri oleh perdana menteri dengan sokongan syarikat korporat. Kita harap sokongan ini memberi dorongan kepada penganjur untuk terus menganjurkan program serupa pada masa akan datang,” katanya.