Agong rasmi Laman Rel Mahkota, mercu tanda baharu Kluang

Agong rasmi Laman Rel Mahkota, mercu tanda baharu Kluang

Projek itu disumbangkan SIPP-YTL JV selaku kontraktor Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas–Johor Bahru.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim (tengah) mendengar penjelasan berkait projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas–Johor Bahru pada majlis perasmian Laman Rel Mahkota di Kluang. Turut hadir Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook (tiga dari kanan), Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi (dua dari kiri), Pengarah Urusan SIPP-YTL Yeoh Seok Hong (dua dari kanan) dan Pengarah Projek SIPP-YTL Yeoh Keong Yuan (kanan). (Gambar YTL)
PETALING JAYA:
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini merasmikan Laman Rel Mahkota di Kluang, sebuah infrastruktur awam bertaraf dunia yang menjadi mercu tanda baharu serta pengiktirafan kepada bandar kereta api itu.

Taman sepanjang 2.8km itu dibangunkan di bawah jajaran Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas–Johor Bahru (GJBEDTP) dan disumbangkan oleh SIPP-YTL JV, kontraktor utama projek berkenaan.

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook dalam kenyataan berkata pembangunan kemudahan tersebut membuktikan kerjasama erat antara kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan sektor swasta dalam merealisasikan infrastruktur awam bertaraf dunia.

“Ia bukan sahaja menjadi mercu tanda baharu Kluang, malah melambangkan kebersamaan serta kelestarian untuk generasi akan datang,” katanya merujuk kerjasama antara SIPP-YTL JV, Perbadanan Aset Keretapi (RAC) dan Majlis Perbandaran Kluang.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim mencuba mesin pengimbas tiket di stesen keretapi Kluang yang baharu di Laman Rel Mahkota yang ditaja oleh SIPP-YTL JV (Gambar YTL)

Selain menggabungkan elemen moden dan landskap hijau, Stesen Keretapi Kluang baharu yang menjadi sebahagian projek ini turut dilengkapi kemudahan moden termasuk 110 petak parkir kereta, 63 petak parkir motosikal, parkir bas dan dua petak khas untuk OKU.

Kemudahan lain termasuk lif, eskalator, tandas, surau, ruang menunggu, kaunter tiket, mesin tiket serta premis makanan.

Pengarah Urusan SIPP-YTL Yeoh Seok Hong berkata pihaknya berbesar hati dapat menyumbang kepada projek bertaraf dunia itu yang turut menjadi inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) sempena ulang tahun ke-70 YTL Corporation Berhad.

“Laman Rel Mahkota menjadi simbol penghargaan kepada masyarakat Kluang serta pengiktirafan kepada identiti bandar ini sebagai Bandar Kereta Api sejak 1909.

“Ia juga perintis kepada taman rel moden negara – ruang yang menyatukan warisan dengan wajah moden untuk dinikmati hari ini dan diwarisi generasi akan datang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.