Penunggang maut, isteri dan bayi parah rempuh lori akibat dikejar anjing

Penunggang maut, isteri dan bayi parah rempuh lori akibat dikejar anjing

Mangsa Muhammad Amirul Azim Hamdan, 28, disahkan meninggal dunia di lokasi dalam kejadian di Taman Murni Jaya, Machap.

Keadaan motosikal mangsa yang remuk selepas merempuh lori ketika cuba mengelak dikejar anjing, semalam. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki maut, manakala isteri dan bayinya berusia 20 bulan parah selepas motosikal yang dinaiki merempuh belakang sebuah lori ketika cuba mengelak dikejar anjing, di Kluang, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 7.30 petang di Taman Murni Jaya, Machap itu, mangsa Muhammad Amirul Azim Hamdan, 28, disahkan meninggal dunia di lokasi manakala isterinya Noor Haidah Mohd Basri, 28, dan anak mereka dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom.

Ketua Polis Kluang, Bahrin Mohd Noh, berkata kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari Tasik Machap menghala ke Taman Murni.

Menurutnya, sebaik tiba di tempat kejadian, lelaki terbabit dipercayai hilang kawalan akibat dikejar anjing lalu masuk ke laluan bertentangan.

“Motosikal itu kemudiannya melanggar bahagian belakang sebuah lori yang diletakkan di bahu jalan sebelah kanan.

“Akibatnya, mangsa parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan.

“Isteri dan anak mangsa juga cedera di kepala dan mereka kini dirawat di zon merah hospital sama,” katanya dalam kenyataan, menurut Harian Metro.

Menurutnya, susulan kejadian itu, polis menjalankan ujian saringan air kencing ke atas pemandu lori berusia 42 tahun tetapi disahkan negatif dadah.

“Polis masih menjalankan siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau IPD Kluang di talian 07-7784222 (hotline) atau 07-7784256 dan 014-365682,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.