
Berucap pada Perhimpunan Agung Tahunan Makkal Sakti yang ke-17, Zahid berkata Najib telah menjalani hukuman penjara tiga tahun dan sewajarnya mendapat pertimbangan untuk pengampunan.
Namun, beliau mengakui keputusan memberi pengampunan terletak pada Yang di-Pertuan Agong, yang mempengerusikan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan.
“Kita amat yakin Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong sebagai seorang raja yang adil. Sebagai Yang Pertuan Agong yang adil, yang sangat simpati kepada mereka yang telah melalui proses perundangan dan telah menjalani hukuman.
“Benar kita berdoa, benar kita mengharap. Tetapi, jangan desak, jangan tekan Kebawah Duli Yang Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,” kata pengerusi Barisan Nasional itu dalam ucapannya.
Kenyataan Zahid itu dibuat sehari sebelum Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dijadualkan menyampaikan keputusan isu titah adendum diraja, yang membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International Sdn Bhd sebagai tahanan rumah.
Najib didapati bersalah atas penyelewengan dana SRC International berjumlah RM42 juta dan sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang, sejak 23 Ogos 2022.
Beliau telah memohon Pengampunan Diraja pada 2 Sept 2022.
Pada 2 Feb 2024, Lembaga Pengampunan mengumumkan tempoh pemenjaraannya dikurangkan separuh daripada 12 tahun kepada enam tahun, dan denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Menurut Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong memegang hak prerogatif memberi pengampunan di bawah Perkara 42(1) dan (2), berdasarkan nasihat Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan baginda, bagi kesalahan dilakukan dalam Wilayah Persekutuan.
Zahid, yang menyifatkan dirinya sebagai ‘sahabat sejati’ kepada Najib, berkata beliau akan terus memperjuangkan nasib bekas perdana menteri itu.
“Saya akan lakukan hingga ke akhir hayat saya. Maka untuk itu, saya amat-amat mengharapkan agar Najib dapat diberikan pengampunan dalam waktu yang terdekat ini,” katanya.